Polis bongkar taktik seludup PATI guna bot nelayan

Muhammad (kiri) menunjukkan antara bot nelayan yang dirampas.
Muhammad (kiri) menunjukkan antara bot nelayan yang dirampas.
A
A
A

KLANG - Taktik sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang berselindung di sebalik bot nelayan tumpas dalam serbuan Op Benteng di Perairan Sekinchan dekat sini Rabu lalu.

Serbuan bermula jam 12 tengah malam itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bridged Tengah PGA, Pasukan Polis Marin Wilayah 1 Pelabuhan Klang dan Jabatan Siasatan Jenayah D3 Bukit Aman.

Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Bridged Tengah, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, operasi ini berjaya memberkas 28 PATI warga Indonesia dan Myanmar berusia lingkungan 20 hingga 50-an, tujuh daripadanya berperanan sebagai tekong laut.

Menurutnya, serbuan ini membawa rampasan tujuh buah bot nelayan tempatan bernilai RM4.2 juta.

Antara PATI yang ditahan dalam serbuan Op Benteng Rabu lalu.
Antara PATI yang ditahan dalam serbuan Op Benteng Rabu lalu.

"Siasatan mendapati modus operandi sindiket ini aktif menggunakan bot nelayan di kawasan Jeti Bagan Sekinchan ke perairan sempadan antarabangsa sebelum membawa PATI dengan bayaran di antara RM800 hingga RM1,000 seorang.

"PATI yang dibawa itu akan menyamar sebagai awak-awak dengan mengikuti penangkapan ikan selama lapan jam sebelum didaratkan di Jeti Sekinchan atau jeti-jeti haram lain," katanya pada sidang akhbar di PPM Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Muhammad berkata, pihaknya percaya sindiket tersebut menukar taktik daripada bot pancung kepada bot nelayan berikutan dapat menyeludup lebih ramai PATI selain faktor pemeriksaan yang ketat ke atas bot pancung sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, selain itu polis juga mendapati tekong laut warga asing itu dipercayai digaji oleh pemilik bot terbabit.

Antara PATI yang ditahan dalam serbuan Op Benteng Rabu lalu.
Antara PATI yang ditahan dalam serbuan Op Benteng Rabu lalu.

"Siasatan sedang dilakukan dalam mengesan kesemua pemilik bot tempatan yang berdaftar itu," katanya.

Katanya, kesemua PATI dan bot yang dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- langkah Khas) 2012 (Sosma) dan Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007," katanya.