Jangan memilih pekerjaan: Saravanan

Saravanan
Saravanan
A
A
A

TANJUNG MALIM - Rakyat dinasihatkan untuk tidak terlalu memilih dan merebut peluang pekerjaan yang sedia ada bagi mengurangkan jurang pengangguran dalam negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, dengan bekerja, rakyat boleh menimba pengalaman dan kemahiran sehinggalah mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik.

“Yang penting rakyat cuba terima apa-apa peluang yang ada. Terima peluang-peluang pekerjaan yang sedia ada sehinggalah mendapat pekerjaan yang lebih baik.

“Ini bukanlah waktu untuk memilih. Kementerian kita menerusi Jabatan Tenaga Kerja menjadi ejen yang menghubungkan industri dan pencari kerja,” katanya dalam sidang akhbar pada Karnival Kerjaya dan Kemahiran JobsMalaysia di Dewan Tan Sri Ghazali Jawi, Slim River di sini hari ini.

Pada program itu, seramai 20 majikan telah turut serta dengan menawarkan sekitar 9,045 kekosongan jawatan.

Menurutnya, kementerian sedia melaksanakan program seumpama itu secara berterusan di seluruh negara dalam menambah peluang-peluang pekerjaan.

Saravanan beramah mesra dengan empat beradik yang hadir pada Karnival Kerjaya dan Kemahiran JobsMalaysia hari ini.
Saravanan beramah mesra dengan empat beradik yang hadir pada Karnival Kerjaya dan Kemahiran JobsMalaysia hari ini.

“Kementerian Sumber Manusia meluluskan program ini di seluruh negara agar dapat menambah peluang-peluang pekerjaan dengan harapan besar dapat mengurangkan kadar pengangguran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Saravanan yang juga Timbalan Presiden MIC optimis sokongan pengundi dalam kalangan kaum India akan berpihak kepada Barisan Nasional (BN) kali ini.

“Jentera peringkat bahagian dan negeri telah bergerak dari rumah ke rumah dan berbanding PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) lalu kini berbeza khususnya kaum India.

“Walaupun ada bebas, saya melihat sebahagian besar akan sokong BN kerana mereka menyedari kerajaan hari ini dapat memberi taraf yang lebih baik.

“Berdasarkan lawatan dan ceramah yang dilakukan, sambutan diterima agak luar biasa. Walaupun ada calon Bebas, BN akan memperoleh majoriti lebih baik,” katanya.