Pasangan suami isteri, pejalan kaki maut nahas

Said
Said
A
A
A

SEREMBAN -Tiga individu termasuk seorang pejalan kaki maut dirempuh sebuah kenderaan yang dipandu seorang warga emas dalam kejadian di Jalan Mambau-Port Dickson berhadapan Surau Al-Muqarrabin, Kampung Mambau, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Assisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian pada jam 6 pagi itu, dua lagi yang maut merupakan pasangan suami isteri, masing-masing berumur 44 dan 38 tahun.

"Berdasarkan siasatan awal, pasangan suami isteri itu dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Taman Kelab Tuanku Seremban menuju ke arah Hospital Seremban.

"Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun telah masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh pasangan suami isteri yang menaiki motosikal jenis Demak," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, selepas pelanggaran itu, kenderaan berkenaan telah berpusing lalu melanggar seorang pejalan kaki wanita berusia 42 tahun di kawasan berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan," katanya.

Artikel Berkaitan: