Zahid arah Bung Moktar jumpa semua pihak

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin -Foto Bernama
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin -Foto Bernama
A
A
A

TANJUNG MALIM - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengadakan pertemuan secara menyeluruh bagi menyelesaikan konflik yang berlaku.

Menurutnya, apa yang berlaku hanyalah perbezaan pendapat namun perkara tersebut perlu ditangani segera.

Beliau berkata, pertemuan secara menyeluruh itu perlu melibatkan semua pihak sama ada dalam kalangan pemimpin UMNO atau yang di luar parti itu.

"Hari ini ada mesyuarat perhubungan UMNO Sabah dan saya akan mendapatkan maklum balas selepas mesyuarat itu. Saya akan bertemu dengan Bung Moktar untuk mendapatkan maklum balas beberapa tindakan bersama yang akan kita lakukan bagi memenangkan semua calon.

"Saya juga minta supaya beliau mengadakan koordinasi dengan ketua-ketua UMNO bahagian di Sabah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Ziarah Kasih di Felda Gunung Besout 2, Sungkai, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai konflik yang berlaku di dalam UMNO Sabah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.

Sementara itu, Ahmad Zahid juga meminta Bung Moktar memberi tumpuan terhadap kerjasama dengan parti-parti politik lain di Sabah termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Cinta Sabah (PCS) dan parti-parti lain.

"Kita menjangkakan bahawa pada kali ini Parti Warisan Sabah (Warisan) akan diberikan tentangan oleh parti-parti berkenaan dan saya amat yakin koordinasi ini boleh dilakukan oleh Bung Moktar.

Artikel Berkaitan:

"Beliau telah bergerak ke lima zon di negeri Sabah yang mengandungi 73 kawasan Dewan Undangan Negeri," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid sekali lagi meminta semua pihak merapatkan barisan kerana kemenangan pada PRN itu bergantung kepada penyatuan bukan sahaja di dalam UMNO tetapi dalam kalangan parti-parti politik di Sabah.

Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO Sabah tidak bersetuju dengan pelantikan Bung Moktar mengetuai jentera BN negeri itu menghadapi PRN Sabah, seperti diumumkan Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN.

Antara yang bersuara, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang juga Ketua Bahagian UMNO Tuaran menyifatkan tindakan Ahmad Zahid meletakkan seseorang yang mempunyai kes di mahkamah sebagai 'jeneral' dalam PRN itu boleh 'membunuh diri'.