Jentera BN Pahang bantu kempen PRK DUN Slim

Mohammad Fakhruddin (tengah, dua dari kanan) bersama Wan Rosdy dan barisan Jentera BN yang turun padang membantu kempen PRK DUN Slim, Perak hari ini.
Mohammad Fakhruddin (tengah, dua dari kanan) bersama Wan Rosdy dan barisan Jentera BN yang turun padang membantu kempen PRK DUN Slim, Perak hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Jentera Barisan Nasional (BN) Pahang turut berkempen bagi memenangkan calon parti itu, Mohd Zaidi Aziz pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Ketua Penerangan UMNO Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, jentera itu diketuai Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

"Kehadiran jentera BN Pahang dapat menyuntik semangat penyokong BN di Perak dan Pahang selaku negeri kubu kuat BN sudah tentu mempunyai kepakaran dalam membantu kempen di PRK.

"Saya yakin pengalaman dan kepakaran yang dikecapi menerusi kemenangan PRK di Pahang sebelum ini ditagih membantu kemenangan BN di DUN Slim," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, kempen yang sudah masuk hari kelapan hari ini dilihat berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

"Hari ini, saya bersama barisan kepemimpinan BN dan jentera BN Pahang menziarahi lapan rumah bagi menyelami masalah yang dihadapi penduduk di sekitar Felda Trolak Selatan serta turut melawat markas Pas di sini," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berharap pengundi dapat membuat keputusan bijak dan tidak mengulangi kesilapan lalu.

Katanya, inilah peluang untuk membetulkan kesilapan memilih Pakatan Harapan (PH) menguasai Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Artikel Berkaitan:

"Cukuplah sekali pengalaman merasai kesengsaraan dan kerosakan yang terjadi ketika di bawah pimpinan kerajaan PH.

"Semoga kejayaan lebih besar dan cemerlang akan terus bersama BN pada PRK DUN Slim ini," katanya.

PRK DUN Slim menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, dan dua calon Bebas iaitu S Santhasekaran, 44, dan Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili Parti Pejuang yang baharu ditubuhkan.

Pengundian pada PRK DUN Slim dijadualkan berlangsung pada 29 Ogos ini.