Enam nelayan tempatan ditahan langgar syarat lesen

Bot peranti bersama seorang tekong dan seorang krew tempatan juga ditahan oleh APMM.- Foto ihsan APMM
Bot peranti bersama seorang tekong dan seorang krew tempatan juga ditahan oleh APMM.- Foto ihsan APMM
A
A
A

ALOR SETAR - Sebuah bot pukat tunda kelas C dan sebuah bot peranti bersama enam nelayan ditahan dalam operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah kerana melanggar syarat lesen, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, bot pukat tunda kelas C ditahan pada jam 2.51 bersama seorang tekong serta tiga kru warga tempatan berusia antara 41 dan 63 tahun.

Menurutnya, bot tersebut ditahan pada jarak lebih kurang 12 batu nautika dari muara Kuala Kedah.

"Tangkapan kedua pula melibatkan sebuah bot peranti bersama seorang tekong dan seorang kru warga tempatan berusia 32 dan 42 tahun dan mereka ditahan pada jam 4.51 pagi pada jarak lebih kurang 8.5 batu nautika dari muara Kuala Kedah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seorang tekong serta tiga kru warga tempatan atas sebuah bot pukat tunda kelas C ditahan oleh APMM. - Foto ihsan APMM
Seorang tekong serta tiga kru warga tempatan atas sebuah bot pukat tunda kelas C ditahan oleh APMM. - Foto ihsan APMM

Mahmad Faizal berkata, kedua-dua bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen kerana beroperasi di bawah 15 batu nautika dari pantai.

"Kedua-dua bot tersebut bersama enam nelayan tempatan serta kira-kira 300 kilogram hasil tangkapan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau juga menegaskan kepada pengusaha-pengusaha bot nelayan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukkan.

Artikel Berkaitan:

"APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara," katanya.