BN rasa bahang, Bebas nampak tenang

Suasana di sebuah kampung dipenuhi bendera dan poster BN ketika tinjauan sempena kempen PRK DUN Slim di sekitar Kampung Gunung Besout semalam.
Suasana di sebuah kampung dipenuhi bendera dan poster BN ketika tinjauan sempena kempen PRK DUN Slim di sekitar Kampung Gunung Besout semalam.
A
A
A

Tempoh berkempen untuk calon-calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim akan memasuki minggu terakhir menjelang hari mengundi pada 29 Ogos ini.

Kesemua jentera calon bertanding dilihat bergerak ke seluruh pelosok DUN Slim memastikan tiada pengundi yang tertinggal untuk disantuni bagi meraih undi.

Sejak 15 Ogos lalu, calon BN, Mohd Zaidi Aziz, 43, mahu pun dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, dan S Santharasekaran, 44, lebih gemar memilih berkempen secara bersemuka dengan pengundi, bergerak dari rumah ke rumah dan kawasan tumpuan orang ramai.Ceramah berkelompok juga diadakan oleh pemimpin BN, Pas dan pemimpin yang menyokong calon Bebas mewakili parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) terdiri daripada parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH).

Gerak kerja jentera BN dilihat begitu tersusun dengan bantuan bukan sahaja daripada 24 bahagian parti di Perak tetapi turut melibatkan pasukan seluruh Malaysia.

Dari kiri: Santharasekaran, Mohd Zaidi dan Amir Khusyairi.
Dari kiri: Santharasekaran, Mohd Zaidi dan Amir Khusyairi.

Tidak kurang juga sokongan daripada Pas yang merupakan rakan Muafakat Nasional dan jentera Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Namun, BN dilihat berdepan cabaran apabila pelbagai isu dibangkitkan penduduk setempat sekali gus menjadi senjata oleh pakatan calon Bebas untuk menyerang mereka.

Tindakan

Artikel Berkaitan:

Isu bekalan air bersih dan elektrik di perkampungan orang asli di Kampung Sungai Teras, Kampung Changkat Ramu, Kampung Buluh Seruas dan Kampung Sungai Jentong dalam DUN berkenaan antara yang mendapat perhatian kerana kemudahan itu masih belum diterima oleh penduduk sejak sekian lama.

Seperti biasa yang berlaku dalam beberapa siri PRK sebelum ini, segala masalah berkenaan diselesaikan secepat mungkin oleh agensi kerajaan terlibat dan penduduk di Kampung Sungai Teras sebagai contoh akan menerima bekalan elektrik pada Selasa ini seperti yang diumumkan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad baru-baru ini.

Bagaimanapun, isu bekalan air bersih pula dilaporkan masih dalam tindakan untuk diselesaikan memandangkan ia menelan kos yang agak besar dan memerlukan kerjasama kerajaan negeri.Selain itu, masalah banjir kilat yang membelenggu kira-kira 7,000 penduduk di Kampung Klah Baru, Trolak, Pekan Slim dan Kuala Slim sejak 50 tahun lalu turut merunsingkan BN kerana ia boleh menjejaskan peluang mereka untuk menang selesa di DUN Slim.Kebanyakan isu yang diutarakan mengambil masa untuk diselesaikan sedangkan tempoh berkempen tinggal tujuh hari sahaja lagi.

Bagi Amir Khusyairi, beliau kelihatan tenang kerana tampil mewakili calon Bebas disokong PH.

Beliau dilihat membina imej dengan pelbagai pendekatan untuk menyentuh hati pengundi khususnya orang Melayu di kawasan Felda.

Sebahagian penyokong BN yang lengkap berpelitup muka menghadiri kempen parti sempena PRK DUN Slim pada Rabu lalu.
Sebahagian penyokong BN yang lengkap berpelitup muka menghadiri kempen parti sempena PRK DUN Slim pada Rabu lalu.

Membaca selawat pada majlis kenduri kahwin, menunaikan solat berjemaah di masjid malah diberikan peluang oleh orang kampung menjadi imam merupakan antara yang menarik perhatian masyarakat setempat terhadap peguam syariah itu.

Dalam pada itu, pengundi dilihat tidak memandang berat soal pemimpin tertinggi mana yang turun berkempen kerana dalam siri ceramah kelompok dianjurkan, tidak begitu ketara penduduk setempat turun untuk mendengar ‘labun’ mereka.

Mungkin juga ia berlaku atas faktor sukar menjaga prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).Harus diingat, majoriti pengundi DUN Slim menyedari keputusan PRK berkenaan tidak memberikan apa-apa perubahan dalam kerajaan negeri dan perkara paling penting bagi mereka adalah menyelesaikan masalah yang dihadapi sejak sekian lama.

Bagi calon yang mampu selesaikan masalah penduduk, mereka mungkin ada peluang cerah untuk menang di DUN Slim.