PRN Sabah: Pentingnya majoriti besar

A
A
A

Sabah akan mengadakan pilihan raya selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu semalam menolak permohonan 33 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang di-Pertua Negeri membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai lepas. Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim.

Kesemua parti yang bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah pun bersiap sedia dengan segala keperluan. Walaupun setakat ini cabaran dilihat kuat dalam bentuk dua penjuru antara parti Warisan sebagai pemerintah dan Perikatan Nasional (PN) sebagai pakatan longgar pembangkang di Sabah, jelas PRN itu menjadi penentu hidup dan mati mereka dalam politik, baik di Sabah mahupun di Persekutuan.

Yang pasti, persaingan dua penjuru itu tidak akan mendapat laluan mudah kerana akan ada calon Bebas serta parti baharu yang akan memecahkan undi. Sekiranya itu berlaku, maka PRN Sabah akan menyaksikan ramai calon atau parti yang mahu mencuba nasib lantas akan menyaksikan lebih ramai calon yang bertanding bagi merebut 73 kerusi DUN yang terbuka untuk semua.

Pengajaran paling jelas yang perlu diperhatikan oleh setiap parti yang bertanding kali ini sudah tentulah keperluan untuk menang dengan majoriti besar. Sekiranya perkara itu tidak diperoleh, maka politik Sabah bakal sekali lagi dihala ke kancah kekacauan.

Ketika Pilihan Raya Umum ke-14 menyaksikan persaingan kuat antara gabungan Warisan-Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pun tidak mampu memperoleh majoriti yang diperlukan, maka lebih sukarlah untuk ia berlaku dalam PRN ini.

Selain Warisan dan PN (setakat ini Bersatu masih belum ada kesepakatan untuk bertanding atas tiket PN walaupun berada dalam PN), kehadiran tokoh-tokoh utama melalui jalur parti kesukuan atau tempatan dijangka mampu untuk melakukan kejutan. Kalau ini berlaku, maka kita sudah boleh menjangkakan bahawa akan ada king maker kalau Warisan atau PN tidak memperoleh majoriti yang besar dalam PRN itu kelak. Sekiranya ada, mungkin kita akan menyaksikan ada lagi katak-katak baharu yang bersedia untuk melompat.

Pemecahan undi juga berlaku disebabkan pengundi yang kali ini mempunyai pelbagai alasan dan pilihan dalam mencorakkan undi mereka. Setakat ini, kita masih belum menyaksikan satu trend pengundian yang tetap dan stabil di Sabah. Dua Pilihan Raya Kecil (PRK) peringkat Parlimen di Sandakan dan Kimanis menyaksikan status quo dengan pertambahan undi buat kedua-dua penyandang iaitu DAP dan BN.

Namun, landskap berbeza bakal berlaku dalam PRN Sabah yang bakal dicorakkan dengan isu pembangunan dan persoalan setempat.

Artikel Berkaitan:

Berbanding PRK Parlimen, PRN itu lebih luas yang sudah tentu memerlukan penggemblengan keseluruhan aset dan sumber parti, baik dari segi calon, jentera, bahan kempen dan percaturan strategi. Jika dalam PRK, ia lebih menumpu dan semuanya dikhususkan bagi menghadapinya semata-mata. Disebabkan itu, PRN kali ini akan menjadi lebih terbuka dan semua calon yang bertanding berpeluang untuk melakukan kejutan.

Tambahan pula, sentimen pengundi kali ini berbeza berbanding dua tahun sebelumnya. Ada yang mahu menjadikan PRN itu sebagai referendum kepada kerajaan Warisan selepas dua tahun menduduki pemerintahan. Ada juga yang mahu ‘mengajar’ pengkhianat politik yang telah menyusahkan semua rakyat Sabah disebabkan kerakusan mereka untuk berkuasa.

Apapun, PRN Sabah kali ini sangat terbuka. Mampukah majoriti yang besar itu diraih atau berlaku pemecahan undi yang bakal sekali lagi membawa igauan politik ngeri kepada Negeri Di Bawah Bayu itu.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)