Salam perkenalan buat semua

No Image Caption
A
A
A

Kolum Kopi Pahit Hujung Minggu tulisan Tok Perak tidak lagi dapat menemui pembaca atas sebab-sebab yang tidak dapat dinyatakan di sini. Maka tiada lagi tulisan-tulisan beliau yang kritis, penuh pemerhatian yang tajam dan nasihat berguna yang dapat kita baca sebagai santapan minda hujung minggu.

Oleh kerana ruangan ini perlu diisi dengan artikel pojok, maka Pak Su Do akan ambil alih bermula hari ini. Jari-jemari Pak Su kena mampu mencoretkan sesuatu pandangan untuk dibahaskan oleh pembaca di ruangan komen media sosial.

Besar harapan Pak Su agar setiap coretan yang disiarkan dalam ruangan baharu ini diambil dari sudut positif supaya masyarakat kita akan sentiasa terbuka minda dan dapat memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Pak Su juga berharap setiap coretan dapat dijadikan nasihat kepada diri Pak Su sendiri supaya dapat menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain.

SEMUA sedia maklum bahawa gerak-geri orang atasan sentiasa diperhatikan. Walaupun bukan 24 jam tetapi akan ada pada masa tertentu akan diperhatikan.

Contohnya, orang atasan dalam keluarga iaitu bapa, gerak-geri akan diperhatikan oleh isteri dan anak-anak. Jika seorang abang, tindak-tanduk akan diperhatikan oleh adik-adik.

Seorang ketua akan diperhatikan oleh anak buah dan tindakan seorang pemimpin akan diperhatikan oleh rakyat jelata.

Jika seorang bapa mahukan anak-anak menjadi ulat buku, bapa perlu menunjukkan contoh terlebih dahulu di depan anak-anak.

Janganlah diharap anak suka membaca buku jika si bapa banyak menghabiskan masa menghadap skrin telefon hingga waktu makan pun tangan tak lekang memegang telefon.

Artikel Berkaitan:

Sama juga jika sikap seorang bapa yang pemalas, janganlah diharap anak-anak menjadi lebih rajin.

Bahkan jika bapa menunjukkan contoh tidak baik, anak-anak akan menjadi lebih buruk daripada itu seperti peribahasa popular ‘bapa kencing berdiri, anak kencing berlari’.

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, 46, pergi ke Turki pada 3 hingga 7 Julai tetapi pada 13 Julai beliau datang ke Parlimen.

Isunya, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Sedangkan semua sedia maklum sesiapa yang pulang selepas berkunjung ke luar negara wajib dikuarantin selama 14 hari berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sendiri.

Di media sosial, netizen rata-ratanya mengecam tindakan tersebut kerana bimbang insiden Kluster Sivagangga berulang menjadi Kluster Menteri.

Kita berdoa agar dijauhkan perkara berkenaan dan sekarang ini perhatian tertumpu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap Khairuddin.

Apakah bentuk tindakan KKM nanti?

Sebelum ini juga, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, 59, dan Exco Perak, Razman Zakaria, 60, masing-masing didenda RM1,000 selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh kerana melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Lenggong, Perak.

Ada juga yang Pak Su perhatikan dalam kalangan pemimpin dan pak menteri yang tidak memakai pelitup muka serta tiada penjarakkan fizikal menghadiri program-program.

Pada zaman sekarang ini, bukti kejadian amat mudah diperoleh kerana rakaman gambar dan video amat mudah tersebar.

Pak Su harap selepas ini pemimpin akan lebih berwaspada dengan SOP yang ditetapkan kerana banyak mata yang memerhatikan. Kalau bukan kerana mata-mata rakyat sekalipun, pemimpin harus memainkan peranan lebih besar untuk menghentikan penyebaran Covid-19.

Akhir sekali, Pak Su harap vaksin yang dihasilkan untuk memerangi Covid-19 dapat berfungsi dengan berkesan tidak kiralah sama ada dihasilkan oleh Rusia, Amerika Syarikat mahupun China.

Dengan terhasilnya vaksin yang berkesan, kita tidak lagi perlu hidup dengan keterbatasan yang ada. Sama-sama kita doakan agar penderitaan yang dialami seluruh dunia berakhir dan pulih segera.