Lawatan sulung ke Johor selepas dilantik sebagai TPM

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di sini, hari ini bagi memenuhi jadual lawatan kerja sehari.

Pesawat yang membawa timbalan perdana menteri tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada 9.55 pagi dan disambut barisan Exco Johor termasuk Exco Pembangunan Wanita dan Pelancongan, Liow Cai Tung.

Ini adalah lawatan sulung Dr Wan Azizah ke negeri ini sejak dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 21 Mei tahun lalu, susulan kemenangan PH dalam PRU14.

Sejurus tiba, Dr Wan Azizah dijadualkan bertemu Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian di kediaman rasmi di Saujana dan mendengar taklimat berkaitan pembangunan Johor.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kemudian dijadualkan merasmikan Program Santuni Rakyat Peringkat Johor di Angsana Mall Johor Bahru jam 11 pagi.

Program Santuni Rakyat adalah inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bertujuan memperkenalkan dan meningkatkan lagi kesedaran berhubung program dan inisiatif disediakan KPWKM yang akan memanfaatkan semua golongan masyarakat.

Dr Wan Azizah turut dijadualkan menghadap Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Istana Bukit Serene di sini, petang ini.

Sebelum berlepas pulang ke ibu negara, beliau turut dijadualkan merasmikan Pejabat Anggota Parlimen Johor Bahru di Taman Larkin Idaman di sini, 4 petang ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: