UKM FC mahu manfaatkan aksi tempat sendiri

Aksi persahabatan antara UKM FC dan Kedah baru-baru ini.
Aksi persahabatan antara UKM FC dan Kedah baru-baru ini.
A
A
A

UKM FC perlu manfaat aksi di gelanggang sendiri bagi meraih kemenangan apabila berdepan Kelantan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam saingan Liga Premier petang ini.

Ketua Jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin berkata, tiga mata itu amat berharga pada ketika saingan Liga Malaysia (Liga-M) kembali bersambung setelah ditangguhkan sejak 16 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.

Justeru, Sulaiman menuntut skuad The Varsity Boys memahami tanggungjawab masing-masing pada perlawanan berkenaan dalam usaha melakar kejayaan yang diinginkan.

“Bagi saya bila kita restart (liga kembali bersambung), kena ada mata dan sasaran kami memang untuk dapat tiga mata kerana kita bermain di tempat sendiri, perlu dapat mata maksimum.

“Bagaimanapun, sekiranya telah berusaha, kita dapat satu mata pun dah cukup memadai, asalkan bila restart ini kena ada (pungutan) mata,” katanya kepada Sinar Harian.

Aksi antara UKM FC dan Kelantan hari ini adalah perlawanan yang ditunda pada 6 Mac lalu akibat hujan dan petir sehingga menyebabkan perlawanan dihentikan seawal minit keenam.

Sulaiman turut mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak mengambil mudah ketika melayan kunjungan Kelantan yang berdepan pelbagai masalah sebelum ini.

“Setakat ini, persediaan kita on track dengan apa yang kita telah rancangkan. Tak ada lagi alasan lambat bermula. Pemain-pemain juga tak ada alasan lagi. Jadi saya harap kita tak terlepas mata apabila beraksi di gelanggang sendiri," jelasnya.

Artikel Berkaitan: