APMM lancar SAR kru kapal kargo jatuh laut

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang kru kapal kargo warga China yang dilaporkan jatuh ke dalam laut di perairan Selangor semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, mangsa Yang Kai Kai, 29, disedari hilang kira-kira jam 8.30 malam ketika kapal berkenaan dalam perjalanan melalui Selat Melaka dari Hong Kong ke Brazil.

“Mangsa disahkan jatuh ke dalam laut oleh nakhoda kapal berkenaan. Dia disyaki tidak memakai jaket keselamatan dan hilang pada kedudukan 17.2 batu nautika barat daya Pulau Ketam.

“Op SAR diaktifkan pada jam 9.30 malam sebaik menerima maklumat berkaitan kehilangan mangsa daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mohammad Rosli berkata APMM menggerakkan bot Penggalang 31 dan helikopter AS365N3 Dauphin ke lokasi kejadian dengan dibantu aset Pasukan Polis Marin iaitu PC32 dan bot RHIB3 milik Tentera Laut Diraja Malaysia untuk mencari mangsa.

Beliau berkata, operasi SAR dibahagikan kepada empat sektor merangkumi kawasan berkeluasan 182 batu nautika persegi dari perairan One Fathom Bank (OFB) hingga ke Beting Angsa di perairan Selangor.

Katanya, pencarian mangsa akan diteruskan sehingga kru kapal kargo itu dijumpai. - Bernama

Artikel Berkaitan: