Turki temui sumber gas asli terbesar di Laut Hitam

Kapal penggerudian pertama Turki, Fatih itu memulakan kerja penerokaan sumber gas asli di Laut Hitam pada 20 Julai lalu. Gambar kecil: Erdogan. - Foto Agensi
Kapal penggerudian pertama Turki, Fatih itu memulakan kerja penerokaan sumber gas asli di Laut Hitam pada 20 Julai lalu. Gambar kecil: Erdogan. - Foto Agensi
A
A
A

ANKARA - Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan hari ini mendakwa Ankara telah menemui sumber gas asli terbesar di Laut Hitam yang diharap dapat diperoleh menjelang 2023 ketika sambutan ulang tahun ke-100 kelahiran republik moden tersebut.

Menurut Erdogan, penemuan berharga 320 bilion kubik meter itu dibuat di zon Tuna-1 di luar pantai bandar Eregli di wilayah utara Zonguldak selepas kerja penerokaan bermula pada 20 Julai lalu.

"ALLAH telah membuka pintu kekayaan yang belum pernah terjadi kepada kami," katanya ketika berucap di Istana Dolmabahce di Istanbul.

Kapal penggerudian pertama Turki, Fatih itu dinamakan sempena nama Sultan Fatih Sultan Mehmet yang berjaya menawan Constantinople pada 1453.

Beliau berharap untuk melihat penemuan baharu di wilayah sama.

Jika gas tersebut dapat diekstrak secara komersial, penemuan itu dapat membantu Turki mengurangkan kebergantungan negara itu terhadap import sumber tenaga dari negara seperti Rusia, Iran dan Azerbaijan.

Ketika ini, Ankara bergantung penuh dengan Rusia untuk sumber tenaganya dan ia berhasrat untuk mempelbagaikan bekalannya.

Awal bulan lalu, Erdogan mengarahkan kerja penerokaan semula sumber tenaga kontroversi di luar pantai selatan Turki berhampiran Pulau Greece yang menjadi pertikaian di perairan timur Mediterranean.

Artikel Berkaitan:

Isu tersebut telah mencetuskan pertelingkahan antara Ankara dan Athens, Cyprus dan Kesatuan Eropah (EU) dan memburukkan lagi ketegangan dengan Perancis yang bertindak meningkatkan kehadiran tentera mereka di rantau terbabit.