Hazani dilantik Pesuruhjaya Polis Sabah baharu

Acryl Sani (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan daripada Zaini (kiri) kepada Hazani di Dewan Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini. Foto: Bernama
Acryl Sani (tengah) menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan daripada Zaini (kiri) kepada Hazani di Dewan Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu, Datuk Hazani Ghazali komited untuk memberi fokus kepada usaha membanteras sindiket dan aktiviti penyeludupan dadah yang amat berleluasa di negeri itu.

Beliau yang juga bekas Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berkata, beliau akan memastikan kertas siasatan dibuka berhubung aktiviti itu untuk tindakan sewajarnya dan Sabah didapati telah dijadikan lokasi transit oleh sindiket penyeludupan dadah sebelum diedarkan ke negara jiran.

"Saya juga akan meneruskan kerjasama dengan Esscom dalam mengekalkan keselamatan dan kesiapsiagaan di kawasan ESSZone (Zon Selamat Timur Sabah). Kita berharap komander ESSCom baharu akan bersama-sama dalam menggarap serta mengemas kini perintah berkurung untuk penentuan operasi," katanya.

Hazani berkata demikian ketika berucap selepas majlis serah terima tugas antara beliau dan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass yang dilantik ke Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman dengan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani di Dewan Auditorium Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: