Md Rayhan diusir pulang ke Bangladesh malam ini

Md Rayhan Kabir
Md Rayhan Kabir
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir yang mencetuskan kontroversi mendakwa pihak berkuasa Malaysia bertindak tidak adil kepada warga asing dalam dokumentari terbitan Al Jazeera, akan dihantar pulang malam ini.

Sumber berkata, penghantaran balik lelaki itu ke negara asal akan dilakukan menerusi penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Md Rayhan akan diusir ke negara asal dengan menaiki penerbangan dari KLIA pada jam 9 malam ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Sinar Harian, sebelum ini melaporkan, Md Rayhan akan dihantar pulang tanpa sebarang pendakwaan.

Lelaki itu ditahan ketika bersembunyi di sebuah kondominium di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, 24 Julai lalu.

Jabatan Imigresen Malaysia pernah memohon bantuan orang ramai mengesan Md Rayhan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Dalam kenyataan peguamnya, K Sumitha Shaanthinni dan C Selvaraja pada Rabu lalu, memaklumkan bahawa Md Rayhan akan dihantar pulang segera selepas keputusan ujian saringan Covid-19 dikeluarkan.

"Proses tersebut termasuk menunggu tiket penerbangan ke Bangladesh tersedia.

Artikel Berkaitan:

"Pihak Imigresen memutuskan untuk mengusir Md Rayhan. Tidak akan ada tuduhan ke atasnya," katanya.

Pada 3 Julai lalu, Al Jazeera menyiarkan dokumentari berjudul 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' yang memaparkan Md Rayhan mengkritik kerajaan Malaysia dan mendakwa wujud diskriminasi dalam mengendali kes Covid-19 membabitkan warga asing.

ARTIKEL BERKAITAN: Md Rayhan Kabir ditahan petang tadi