X

Kindly register in order to view this article
!

Nelayan tempatan jadi tali barut

Muhd Nur Sham (depan, tengah) bersama anggota penguat kuasa APMM Kelantan.
A
A

PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan mendedahkan terdapat rakyat tempatan yang menjadi tali barut membocorkan maklumat kepada nelayan warga asing menyebabkan misi penguatkuasaan mengekang pencerobohan di perairan negara gagal.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, hasil risikan pihaknya mendapati terdapat penduduk tempatan terutama nelayan di negara ini yang sanggup menjadi pengkhianat negara demi wang ringgit.

“Mereka menyalurkan maklumat untuk memperoleh wang mudah dalam jumlah yang banyak bagi tempoh singkat.

“Kewujudan mereka ini memberi kesan yang amat besar dalam misi penguatkuasaan dan sesuatu yang amat serius serta perlu diselesaikan pada peringkat akar umbi iaitu dalam kalangan rakyat,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM Tok Bali di sini hari ini.

Muhd Nur Syam menyertai latihan berkala bersama anggota APMM Kelantan bagi memantapkan kemahiran menembak dalam melaksanakan tugasan menjaga keamanan di perairan negara.
Muhd Nur Syam menyertai latihan berkala bersama anggota APMM Kelantan bagi memantapkan kemahiran menembak dalam melaksanakan tugasan menjaga keamanan di perairan negara.

Terdahulu, beliau mengetuai Pelayaran Menaiki Kapal Maritim (KM) Tok Bali sejauh 16 batu nautika bersama 13 pengamal media dari pelbagai agensi.

Turut diadakan demonstrasi melakukan penggeledahan dan latihan bersepadu secara berkala bagi memantapkan lagi kemahiran menembak oleh anggota APMM.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tali barut ini bertindak sebagai tonto yang menggunakan pelbagai modus operandi bagi menyalurkan maklumat kepada nelayan warga asing.

“Mereka sering bertukar modus operandi, manakala pihak berkuasa pula perlu sentiasa lebih cekap dalam memintas modus operandi itu bagi mengekang kemaraan mereka.

“Kecekapan APMM terbukti dengan kejayaan merampas dua bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara baru-baru ini,” katanya.

Wartawan Sinar Harian, Adila Sharinni Wahid mencuba senjata jenis Pistol CZ sambil diperhatikan oleh Muhd Nur Syam Asmawie dalam program yang turut diadakan bagi menghargai pengamal media di Kelantan.
Wartawan Sinar Harian, Adila Sharinni Wahid mencuba senjata jenis Pistol CZ sambil diperhatikan oleh Muhd Nur Syam Asmawie dalam program yang turut diadakan bagi menghargai pengamal media di Kelantan.

Tambah beliau, APMM bukan sebuah agensi 'ganas' yang melakukan kekerasan ketika bertugas sekiranya tidak menerima ancaman terlebih dahulu daripada pihak lawan.

“APMM tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan tembakan jika nyawa anggota tidak terancam,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!