Tampal tulisan Cina: Armada kecam tindakan DAP Sarawak

Mohd Ashraf Mustaqim
Mohd Ashraf Mustaqim
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengecam tindakan Pemuda DAP (Dapsy) Sarawak yang menampal pelekat dalam bahasa Cina di beberapa papan tanda jalan di sekitar bandar raya Kuching.

Ketua Penerangannya, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menyifatkan tindakan itu sebagai perbuatan vandalisme dan melanggar bidang kuasa Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Katanya, tindakan itu sebagai perbuatan yang tidak peka Rukun Negara terutama ketika negara sedang meraikan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

"DAP jelas tidak sensitif dan jelas melanggar susila apabila melangkaui pihak berkuasa tempatan. Melalui Perlembagaan Persekutuan, jelas dalam artikel atau Perkara 152 telah memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

"Melalui Akta 32, Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, pada artikel 2 secara jelas menyatakan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau lagi, sekiranya alasan atas tujuan pelancongan, mungkin perlu setiap papan tanda jalan dalam skala yang besar bagi mempamerkan kira-kira 6,000 bahasa yang terdapat dalam dunia.

"Apakah pelancong yang datang ke Kuching seluruhnya memerlukan kaligrafi Cina untuk mengetahui jalan dengan membaca papan tanda? Jelas tiada kesaksamaan dalam hal ini.

"Kita telah 63 tahun merdeka dan hal sebegini tidak seharusnya timbul kerana semangat kebangsaan perlu mekar terpahat dengan ketaatan kepada undang-undang dan perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

"Kitalah anak merdeka yang perlu teguh bersatu dan memaknai 'kebangsaan' dan 'kekitaan' atas tanda syukur dan kasih kerana bakti pusaka bertuah ini," katanya.