Majoriti golongan dewasa tidak makan buah, sayur

Dr Adham ketika berucap pada Pelancaran V IFiTer (I Fit & Eat Right) di Auditorium Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Adham ketika berucap pada Pelancaran V IFiTer (I Fit & Eat Right) di Auditorium Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Majoriti golongan dewasa di negara ini tidak mengambil jumlah buah-buahan dan sayur- sayuran sebagaimana disyorkan setiap hari bagi pemakanan sihat.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba berkata, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 94.9 peratus orang dewasa tidak mengambil jumlah buah-buahan dan sayur-sayuran disyorkan dalam lima hidangan setiap hari.

"Peratusan orang dewasa tidak makan sayur dan buah meningkat sebanyak sembilan peratus berbanding tahun 2015 iaitu 94 peratus," katanya dalam ucapan pelancaran program V+IFitEr di sini hari ini.

Menurutnya, cara hidup sedentari dan tidak aktif secara fizikal dan pengambilan makanan yang tidak sihat merupakan penyumbang utama obesiti.

"Bagaimanapun hasil tinjauan itu juga mendapati pencapaian ketidakaktifan secara fizikal dalam kalangan orang dewasa menunjukkan penurunan," katanya.

Beliau berkata, pada tahun 2015, tahap ketidakaktifan adalah 33.5 peratus manakala tahun lalu menurun 25.1 peratus.

"Menurut NHMS juga, prevalens rakyat Malaysia yang mengalami berlebihan berat badan dan obesiti terus menunjukkan trend peningkatan daripada 47.7 peratus pada tahun 2015 kepada 50.1 peratus pada tahun 2019," katanya.

Adham berkata, secara keseluruhan satu daripada dua rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan dan obesiti.

Artikel Berkaitan:

"Golongan dewasa yang mempunyai obesiti abdomen juga menunjukkan trend peningkatan dari 48.6 peratus pada 2015 kepada 52.6 peratus pada 2019.

"Sebanyak 29.8 peratus anak-anak kita di antara umur lima hingga 17 tahun adalah berlebihan berat badan dan obes," katanya.

Program V+IFitEr merupakan kolaborasi KKM dan Pertubuhan Pencegahan Obesiti Kanak-kanak dan Dewasa telah menarik 1,000 penyertaan dari seluruh negara selepas tiga jam pendaftaran dibuka.

Dianggarkan lebih 400,000 warganet akan terlibat secara tidak langsung sepanjang tempoh intervensi berjalan selama lapan minggu.