Covid-19: Kluster Maju pula dikesan

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto: Bernama
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan kluster Covid-19 iaitu Kluster Maju selepas dua pekerja restoran dan seorang pelanggan disahkan positif wabak itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, Kluster Maju melibatkan sebuah restoran di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

"Dua kes pertama kluster ini iaitu kes ke-9,176 dan 9,177 yang merupakan pekerja restoran itu telah dilaporkan pada Ahad lalu," katanya.

Menurutnya, kedua-dua pesakit itu dikesan hasil saringan rawak ke atas pekerja restoran dan kedai makan di sekitar Kuala Lumpur.

"Susulan itu, KKM telah menjalankan saringan kontak rapat kes berkenaan," katanya.

Beliau berkata, salah seorang pelanggan restoran yang telah dikenal pasti menunjukkan gejala sakit tekak dan sakit kepala pada Isnin.

"Dia disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Kesnya dilaporkan hari ini," katanya.

Beliau berkata, setakat ini seramai 672 orang telah disaring, termasuk 16 pekerja dan 656 orang pelanggan.

Artikel Berkaitan:

"Daripada jumlah ini, tiga kes dikesan positif Covid-19 dan 669 individu negatif," katanya.

Tambahnya, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sedang diteruskan.

"Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di restoran tersebut," katanya.