Mohd Shafie sambut baik keputusan mahkamah tinggi

Mohd Shafie Apdal
Mohd Shafie Apdal
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Menteri sementara Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini yang menolak cabaran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu.

Mohd Shafie berkata, keputusan tersebut menunjukkan perlembagaan dan institusi Yang di-Pertua Negeri Sabah dipertahankan.

Ia sekali gus menurutnya, menepis andaian bahawa beliau mempunyai kuasa mutlak membubarkan DUN Sabah pada 30 Julai lalu.

"Kerana itu, nak membubarkan Dewan itu bukan terletak dengan saya, bukan terletak dengan mana-mana pihak, ia ialah kuasa mutlak TYT (Tuan Yang Terutama).

"Kita boleh menasihatkan, kita boleh memberi pandangan, kita boleh mohon tetapi yang menentukannya adalah TYT dan TYT pun sudah tanda tangan dan mewartakannya.

“Selepas itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun sudah (keluar) writ dan mengumumkan tarikh," katanya memetik laporan portal Astro Awani hari ini.

Tambah Mohd Shafie, beliau amat menghargai apa yang dilakukan pihak kehakiman dalam mendaulatkan perlembagaan negeri.

Menurutnya, dengan penyelesaian mahkamah tersebut, ia akan menjadi pendorong kepada persiapan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 26 September hadapan.

Artikel Berkaitan:

"Yang penting bagi kita ialah kesiapsiagaan kita untuk berhadapan dengan PRN, untuk kita kembalikan hak ini kepada rakyat, untuk menentukan proses lompat sana lompat sini adalah satu langkah yang tidak sihat.

"Hanya untuk kita katakan bahawa pembentukan kerajaan itu berjalan lancar sejak beberapa tahun ini.

"Tetapi malangnya ada pihak-pihak tertentu menggunakan, bukan hanya keupayaan mereka tetapi juga kewangan mereka untuk mengganggu gugat kestabilan negeri ini," ujarnya.

ARTIKEL BERKIATAN: Mahkamah putuskan PRN Sabah diteruskan

Sabah akan mengadakan pilihan raya selepas Mahkamah Tinggi Sabah hari ini menolak permohonan 33 ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman terhadap keputusan Yang di-Pertua Negeri Sabah membubarkan DUN pada 30 Julai lepas.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Leonard David Shim.