PRN Sabah pilihan raya paling kritikal, kata Bung Moktar

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mengetuai parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah menyifatkan PRN kali ini adalah pilihan raya paling kritikal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, parti yang kalah pada PRN Sabah ini bukan sahaja dianggap tidak relevan, malah bakal lenyap berikutan hilang kepercayaan daripada rakyat negeri itu.

"Pilihan raya ini boleh dikira sebagai antara pilihan raya paling kritikal. Kalau Parti Warisan Sabah (Warisan) kalah ia akan hilang buat selama-lamanya. Demikian juga dengan UMNO dengan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) Sabah.

"Kalau kami tewas, UMNO dan Bersatu Sabah sudah tidak relevan... Jadi, oleh sebab itu apa yang saya katakan perkara (pilihan raya) ini terlalu penting," katanya menerusi wawancara bersama portal SuaraTV hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui bukan mudah untuk mengetuai BN Sabah dan juga menyatukan pemimpin parti dan parti-parti gabungan kerana masing-masing mempunyai pendapat berbeza.

"Memang menyatukan itu sukar sedikit tetapi seperti menjadi amalan kita, sama ada kita bersetuju atau tidak atau kita suka atau tidak keputusan telah dibuat sebab kita akan berhadapan dengan pilihan raya yang penting.

"Saya yakin setiap masalah ada jalan penyelesaiannya walaupun tidak semua yang gemar apabila kita membuat keputusan A, orang UMNO pun tidak senang, keputusan B orang Bersatu pun tidak senang.

"Jika keputusan C, Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak senang, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) juga tidak senang tapi kita harus buat keputusan yang penting. Kita harus sehaluan dalam memenangi pilihan raya yang penting ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Bung Moktar turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa 85 peratus muka baharu dan daripada kalangan belia bakal bertanding mewakili gabungan itu pada PRN Sabah.

Menurutnya, muka baharu dan belia dipilih juga terdiri daripada mereka yang belum pernah bertanding.

"Saya sudah beri jaminan dari awal, dari 100 peratus, 85 peratus adalah muka baharu dan anak muda dari orang yang belum pernah bertanding (akan menjadi calon PRN Sabah)," katanya.

Bung Moktar memaklumkan, hanya 15 peratus daripada golongan sudah bertanding akan dicalonkan setelah melihat kepada beberapa kriteria.

ARTIKEL BERKAITAN: Mahkamah putuskan PRN Sabah diteruskan

PRN Sabah 26 September, penamaan calon 12 September

Untuk rekod, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan 26 September sebagai tarikh pengundian bagi PRN Sabah.

Tarikh penamaan calon bagi PRN Sabah pada 12 September manakala pengundian awal ditetapkan pada 22 September ini.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, terdapat 1.12 juta pengundi dan dijangkakan lebih 70 peratus pengundi akan mengundi pada PRN Sabah pada kali ini.