KPWKM sasar 10,000 peserta ambil KAP sehingga hujung tahun ini

Siti Zailah (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta, Koo Ai Chin pada majlis Penutup Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Permata Untuk Golongan B40 dan Ibu Tunggal siri 3/2020 di Kota Bharu hari ini. - Foto Bernama
Siti Zailah (dua dari kanan) menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta, Koo Ai Chin pada majlis Penutup Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Permata Untuk Golongan B40 dan Ibu Tunggal siri 3/2020 di Kota Bharu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasarkan penyertaan 10,000 peserta bagi mengikuti Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) sehingga hujung tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, setakat ini, kira-kira 2,000 individu khususnya membabitkan golongan ibu tunggal dan B40 telah mendaftar bagi mengikuti kursus berkenaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dilancarkan pada Jun lepas dalam usaha kerajaan menangani kesan terhadap ekonomi susulan pandemik Covid-19.

"Di bawah Penjana ini, mana-mana peserta akan diberikan kursus latihan secara percuma sama ada menerusi kelas khusus ataupun secara dalam talian berbanding bayaran RM900 yang dikenakan sebelum ini.

"Insentif ini diberikan bagi membantu golongan ibu tunggal dan B40 yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 bagi memberi kemahiran kepada mereka dan dalam masa yang sama dapat melahirkan lebih ramai usahawan dalam bidang penjagaan kanak-kanak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak Permata Untuk Golongan B40 dan Ibu Tunggal siri 3/2020 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Datuk Mumtaz Md Nawi di sini hari ini.

Siti Zailah berkata, sehingga Jun lepas, sebanyak 5,072 taska telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara dengan kerajaan turut menyalurkan bantuan 'one-off' sebanyak RM5,000 sebagai insentif kepada pengusaha bagi menampung kos operasi agar ia selari dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan Persekutuan turut meluluskan 10 pusat asuhan komuniti terutama di hospital dalam usaha membantu petugas barisan hadapan menguruskan anak-anak mereka dengan lebih berkesan walaupun berada di tempat kerja. - Bernama

Artikel Berkaitan: