Calon BN yakin dapat menangi semula undi di enam PDM

Mohd Zaidi (kanan) pada program santai pagi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Medan Selera Slim River hari ini.
Mohd Zaidi (kanan) pada program santai pagi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Medan Selera Slim River hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Barisan Nasional (BN) yakin dapat memenangi semula undi di enam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Calon BN, Mohd Zaidi Aziz berkata, keyakinan itu bersandarkan kepada kerjasama erat dalam kempen bersama Pas melalui Muafakat Nasional, parti komponen dan rakan BN lain termasuklah Makkal Sakti dan Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF).

"Sebelum ini kita kalah di enam PDM tetapi selepas ada kerjasama dalam Muafakat Nasional, kita yakin boleh menang.

"MCA dan MIC juga bekerja keras bagi memastikan mereka mendapat undi-undi daripada ahli, begitu juga Makkal Sakti dan IPF, kita sudah tentukan siapa dan berapa undi.

"Kita minta masing-masing letakkan sasaran, kalau itu kita berjaya dapatkan, maka semua enam PDM ini kita boleh menang," katanya ketika ditemui pada program santai pagi bersama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan di Medan Selera Slim River di sini hari ini.

Enam PDM itu adalah Ladang Sungkai; Pekan Slim; Sungai Slim Utara; Ladang Kelapa Bali; Pekan Lama dan Kampung Kuala Slim.

Mohd Zaidi berkata, berdasarkan keputusan pengundian PRU14, PDM Kampung Kuala Slim didominasi calon Pas manakala PDM Ladang Sungkai dan Pekan Lama ada pengundi kalangan kaum Cina dan India.

"Di situ kita yakin dapat undi Pas dan saya juga sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan parti komponen.

Artikel Berkaitan:

"Malam tadi (ceramah anjuran Makkal Sakti) kita tengok ramai yang hadir adalah pengundi di PDM Pekan Slim dan Sungai Slim Utara, itu adalah signal yang kita mampu dapatkan undi daripada mereka," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, berdasarkan maklum balas dalam kempen yang dijalankan BN sejak Sabtu lalu menunjukkan Mohd Zaidi diterima baik oleh seluruh pengundi di sini.

"Kita boleh baca mesej dan signal yang diberikan oleh pengundi begitu positif. Saya yakin jika kita pertingkatkan dan calon terus bertemu pengundi seramai mungkin, ini akan dapat beri kelebihan kepada BN pada hari pengundian nanti.

"Cara kempen bertemu secara terus dengan pengundi amat berkesan berbanding ceramah yang kadang kala mesej pun tak sampai, lebih baik calon dan jentera bertemu seramai mungkin pengundi," katanya.

Pihaknya akan memastikan pemimpin parti dan masyarakat menggunakan peluang kempen ini untuk memungut dan mengutip semua isu-isu setempat yang dihadapi masyarakat di situ.

"Kita nak pastikan masalah masyarakat setempat dapat dikutip.

"Apabila kita menang nanti, wakil kita akan membawa masalah di sini kepada kerajaan negeri dan agensi yang berkaitan," katanya.