Skuad APEC 2020 gegarkan Terengganu

Pemenang aktiviti menerima hadiah berupa produk edisi terhad APEC 2020 di podium.
Pemenang aktiviti menerima hadiah berupa produk edisi terhad APEC 2020 di podium.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pengunjung Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall teruja apabila berpeluang menguji pengetahuan masing-masing dengan kehadiran Skuad Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) 2020 di sini semalam.

Simulator F1, permainan ‘Wheel of Fortune’, kuiz trivia APEC dan pertandingan ‘selfie’ merupakan sebahagian aktiviti menarik dan menyeronokkan yang dikendalikan tujuh anggota Skuad APEC 2020 bagi memberikan informasi mengenai penganjuran APEC 2020.

Menerusi penyertaan aktiviti itu, orang ramai bukan sahaja berjaya mencabar kemampuan sendiri malah berpeluang memenangi produk-produk edisi terhad APEC 2020 berupa t-shirt, pelitup separuh muka hasil buatan tangan dan buku nota.

Kakitangan swasta, Amir Ashraf Ismail, 23, berkata, program turun padang oleh Skuad APEC 2020 itu memberikannya pelbagai maklumat tentang penganjuran APEC 2020 melalui aktiviti diadakan secara santai yang disertainya.

“Ini kali pertama saya tahu tentang APEC sebab ada program hari ini. Saya berasa teruja bila dapat tahu ini kali kedua Malaysia jadi tuan rumah penganjuran APEC dan sebagai rakyat Malaysia, saya bangga,” katanya.

Orang ramai mencuba permainan Wheel of Fortune yang dikendalikan Skuad APEC 2020.
Orang ramai mencuba permainan Wheel of Fortune yang dikendalikan Skuad APEC 2020.

Syafiqah Mohamad Mastor, 25, pula berpendapat, program jelajah Skuad APEC 2020 wajar diteruskan di negeri-negeri lain bagi memberi kesedaran kepada rakyat tentang pencapaian Malaysia sebagai tuan rumah kali kedua APEC 2020.

Kakitangan KTCC Mall itu percaya ia dapat membantu rakyat mengetahui lebih jelas potensi APEC dalam mengukuhkan ekonomi negara selepas kali pertama menjadi tuan rumah pada tahun 1998.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun masih dalam pandemik koronavirus (Covid-19), program hari ini (semalam) dapat diadakan dengan baik dan teratur melalui pematuhan SOP (Prosedur Operasi Standard),” katanya.

Seorang lagi peserta, Mohd Khuzaimi Mohd Shaari, 20, dari Kuala Berang berkata, dia seronok dapat mengetahui banyak maklumat mengenai penganjuran APEC secara santai melalui aktiviti yang disertainya.

“Saya tidak pernah dengar mengenai APEC tapi kebetulan hari ini (semalam) datang jalan-jalan sertai aktiviti diadakan seperti simulator F1 dan dapat tahu banyak info tentang APEC. Program ini patut dibuat di tempat lain juga,” katanya.

Orang ramai menjawab soalan dikemukakan dalam kuiz trivia APEC.
Orang ramai menjawab soalan dikemukakan dalam kuiz trivia APEC.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) selaku Sekretariat Kebangsaan APEC 2020 melancarkan sesi turun padang ke Pantai Timur dalam usaha memupuk kesedaran tentang APEC dan status Malaysia sebagai penganjur dan pengerusi APEC 2020.

Selepas jelajah di Pahang pada Rabu lalu, Skuad APEC 2020 yang merupakan salah satu acara bersempena penganjuran APEC turun padang ke Terengganu semalam dan mereka dijangka berada di Kelantan bagi meneruskan misi jelajah Pantai Timur.

Tahun ini, Malaysia akan menganjurkan mesyuarat-mesyuarat APEC secara maya berikutan penularan Covid-19.

Sebagai Pengerusi APEC 2020, tumpuan akan diberikan kepada agenda ‘Kemakmuran Bersama’, bagi membawa manfaat ekonomi yang lebih besar kepada rantau Asia Pasifik, dan membincangkan polisi yang mampu memberi impak kepada 48 peratus perdagangan global.