Remaja cedera dilibas parang

Kawasan depan rumah mangsa yang disamun dua lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang diTaman Paya Rumput Indah di sini, petang semalam.
Kawasan depan rumah mangsa yang disamun dua lelaki tidak dikenali bersenjatakan parang diTaman Paya Rumput Indah di sini, petang semalam.
A
A
A

MELAKA - Seorang remaja lelaki cedera di lengan dan dahi akibat dilibas dengan parang oleh penjenayah dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Paya Rumput Indah di sini petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, mangsa berusia 17 tahun berseorang dalam rumah teres dua tingkat itu sebelum dua penjenayah bersenjata parang memasuki kediaman berkenaan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kedua- dua suspek dipercayai memanjat tembok dinding belakang rumah mangsa sebelum masuk melalui pintu bahagian belakang yang tidak berkunci.

Menurutnya, mangsa yang berada di ruang tamu kemudian diarahkan berdiam diri manakala salah seorang suspek telah naik ke tingkat atas untuk mencari barang berharga sebelum melarikan telefon bimbit dan pasport.

"Semasa kedua-dua suspek mahu melarikan diri, ibu bapa mangsa yang kebetulan pulang ke rumah ternampak mereka.

"Mangsa kemudian bertindak menghalang suspek yang mahu melarikan diri menggunakan tangga, namun salah seorang suspek telah melibaskan parang ke arah mangsa hingga menyebabkan mangsa tercedera.

"Kedua-dua suspek bagaimanapun dapat melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan," katanya.

Beliau berkata, mangsa yang cedera masih dirawat di bawah pemerhatian doktor dan keadaannya dilaporkan stabil.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan polis di tempat kejadian berjaya menimbulkan kesan cap jari selain menemui sarung parang di belakang rumah.

"Mangsa dianggarkan mengalami kerugian bernilai RM2,000," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.