Kondominium jadi stor simpanan barangan tiruan diserbu

Anggota KPDNHEP melakukan pemeriksaan pada barangan tiruan yang ditemui di kondominium tersebut.
Anggota KPDNHEP melakukan pemeriksaan pada barangan tiruan yang ditemui di kondominium tersebut.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya menyerbu sebuah kondominium sekitar Cheras yang dijadikan sebagai stor simpanan barang tiruan dalam operasi yang dilaksanakan pada Rabu lalu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Putrajaya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, sewaktu serbuan, rumah berkenaan didapati berkunci, malah jiran berhampiran turut memaklumkan kediaman itu telah lama kosong dan tiada sebarang pergerakan keluar masuk dikesan.

Iskandar berkata, pihaknya telah memohon bantuan pengurusan kondominium terbabit untuk memecahkan kunci mangga kediaman itu dan pemeriksaan mendapati unit berkenaan dipenuhi dengan barangan disyaki tiruan.

"Hasil pemeriksaan awal pasukan bersama wakil pemilik cap dagang telah membawa kepada penemuan sejumlah 1754 unit beg tangan pelbagai jenama antarabangsa yang disyaki tiruan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, semua barangan tersebut telah dirampas dan dianggarkan bernilai RM140,320.

Tambah beliau, pihaknya juga ingin menegaskan bahawa suspek terlibat telah dikenalpasti dan akan dikesan dalam masa terdekat.

"Siasatan terperinci sedang dijalankan kini dibawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Artikel Berkaitan: