'Habis baju sekolah terbakar'

Keadaan dua unit rumah di Kampung Batu 1 hangus dalam kejadian awal pagi tadi.
Keadaan dua unit rumah di Kampung Batu 1 hangus dalam kejadian awal pagi tadi.
A
A
A

TEMERLOH - "Habis semua baju sekolah saya terbakar," luah seorang pelajar Sekolah Menengah Agama (SMA) Al- Khairiah di sini selepas rumah sewa didiaminya bersama ahli keluarga di Kampung Batu 1 di sini musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Norehan Jaslan, 15, berkata, dia tersedar rumahnya terbakar selepas terhidu bau petrol di tepi tingkap biliknya kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi.

"Saya rasa tidak sedap hati dan segera ke dapur. Saya lihat api sedang marak.

"Saya pun segera membuka pintu depan dan mengejutkan ibu, Mastura Rahmat, 40, serta adik bongsu untuk menyelamatkan diri," katanya.

Dia hanya sempat mengambil dompet dan tidak sempat menyelamatkan sebarang dokumen dan barangan lain termasuk baju sekolah.

Namun, anak kedua daripada tiga beradik itu bersyukur kerana mereka semua terselamat dalam kebakaran.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Temerloh, Penolong Penguasa Bomba Syed Mohsen T Ismail berkata, kebakaran melibatkan dua unit rumah jenis sementara yang musnah 100 peratus dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, turut musnah sebuah kereta jenis Proton Saga dalam kejadian terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Seramai lima anggota dan seorang pegawai dari BBP Temerloh terlibat dalam operasi awal pagi tadi selain menerima bantuan dari BBP Bukit Angin.

"Tiada kemalangan jiwa dan kesemua mangsa berjaya menyelamatkan diri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, operasi berjaya dikawal pada jam 2.20 pagi dan berakhir pada jam 4.14 pagi tadi.

"Punca siasatan dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.