Muafakat Nasional sedia libat parti lain

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dan Pas akan terus komited untuk menggalakkan penglibatan parti lain dalam gagasan Muafakat Nasional (MN) demi memperkasakan penyatuan ummah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, perkara itu dipersetujui kedua-dua parti berkenaan sewaktu membincangkan hala tuju MN, malah usaha itu adalah sebahagian daripada semangat syura.

Beliau bagaimanapun mendedahkan bahawa MN sebenarnya tidak dirancang menjadi gagasan eksklusif, sebaliknya perlu berkembang secara organik dan didukung ummah secara melebar dan meluas.

“Politik normal baharu menuntut inklusiviti. Pihak yang berjaya membina muafakat dan tidak berpecah akan berjaya. Alhamdulillah pimpinan UMNO dan Pas semakin mara.

“UMNO dan Pas sewaktu membincangkan hala tuju MN, (seperti dalam MOU dan piagam) telah menyatakan komitmen untuk membawa penglibatan parti-parti lain dalam memperkasakan penyatuan ummah.

"Alhamdulillah matlamat memperkasakan MN secara organik seperti tercatat dalam Perkara 2.2 MOU/Piagam semakin berjaya,” ciapnya melalui Twitter hari ini.

Annuar yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu mengulas penjelasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung surat jemputan kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menyertai MN yang tular di media sosial sejak semalam.

Zahid dalam kenyataan di Twitter hari ini mengesahkan bahawa beliau dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Abdul Hadi Awang menandatangani surat kepada Bersatu berdasarkan keputusan mesyuarat MN yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Annuar turut menjelaskan bahawa surat jemputan kepada Bersatu itu dihantar kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Ogos sebelum menerima surat persetujuan balas pada 18 Ogos lalu.

“Itulah semangat syura...dibincang dan dipersetujui bersama oleh MN pada 6 Ogos.

“Perkara itu (jemputan Bersatu menyertai MN) dilapor dalam Biro Politik dan MKT (Majlis Kerja Tertinggi UMNO) pada 7 Ogos. Surat dihantar 13 Ogos...18 Ogos kita terima surat setuju dari YAB Presiden PPBM (Bersatu),” ciapnya lagi.