Muafakat Nasional tak ikat Pas

Mohamad (kiri) bersama Mohd Zaidi pada sidang media sempena program santai pagi di Medan Selera Slim River hari ini.
Mohamad (kiri) bersama Mohd Zaidi pada sidang media sempena program santai pagi di Medan Selera Slim River hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kerjasama Pas bersama UMNO dalam Muafakat Nasional tidak mengikat parti itu untuk bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurutnya, Pas berhak membuat pendirian partinya memandangkan Muafakat Nasional itu sendiri bukanlah satu badan yang didaftarkan, tetapi punya piagam kerjasama yang dipersetujui kedua-dua parti.

"Pas nak bekerjasama dengan mana-mana parti itu tidak ada isu, kita tidak mengikat. UMNO sudah buat pendirian tidak akan sertai PN, itu pendirian parti kita dan Pas menghormatinya.

"Pas pula kata nak menyertai PN, kita menghormati pendirian mereka, jadi tidak ada isu, saya harap orang tidak keliru tentang perkara itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan Pas yang terlibat sama dalam jawatankuasa pendaftaran PN.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilapor telah mengesahkan bahawa parti itu bersama Bersatu dalam proses menubuhkan PN.

Mohamad berkata, paling penting kerjasama Pas dan UMNO ketika ini adalah untuk mengelak perpecahan yang lebih besar dalam kalangan orang Melayu.

"Hasrat kita untuk melihat orang Melayu jangan berpecah sangat, jika berpecah kepada banyak puak, ia akan merugikan orang Melayu itu sendiri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, sebagai sebuah kerajaan, baik PN mahupun Muafakat Nasional, matlamat mereka cuba mengelak berlakunya pertembungan sesama parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

"Kalau bertanding tiga penjuru, yang menang Pakatan Harapan (PH), jadi pembahagian kerusi nanti mesti dirunding sebaik mungkin," katanya.

Terdahulu Mohamad bersama calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Mohd Zaidi Aziz menghadiri program santai pagi di Medan Selera Slim River di sini.