X

Kindly register in order to view this article
!

Ibu tunggal rayu sumbangan, anak terlantar 18 tahun

Siti Zubaidah menguruskan anaknya, Nur Athirah Najihah atau mesra dipanggil ‘adik’ yang hanya mampu terlantar susulan jangkitan kuman di kepala sejak berusia 9 bulan ketika ditemui pemberita di Kampung Tanah Merah Lama, Machang. - Foto Bernama
A
A

MACHANG - Seorang ibu tunggal dari Kampung Tanah Merah Lama di sini, merayu bantuan orang ramai untuk menguruskan keperluan anak bongsunya yang terlantar selepas mengalami jangkitan kuman pada otak ketika berusia sembilan bulan.

Siti Zubaidah Mohd Ali, 56, berkata, anaknya, Nur Athirah Najihah Ibrahim, 18, amat memerlukan katil laras rendah memandangkan pada masa ini dia hanya terbaring di atas lantai.

“Dia dilahirkan tidak cukup bulan dan ditempatkan di unit rawatan rapi kanak-kanak Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian selama dua bulan sebelum dibenarkan keluar. Bagaimanapun dia terkena demam panas selama seminggu,” kata ibu empat anak berusia 18 hingga 34 tahun itu ketika ditemui di rumah sewanya di sini.

Menurutnya, Nur Athirah kemudian disahkan terkena jangkitan kuman menyebabkan sebahagian otak sebelah kiri terpaksa dibuang pada awal 2003.

Menurut wanita itu, ujian terhadap keluarganya bertambah berat selepas dia terpaksa berhenti berniaga sejak dua tahun lepas susulan penyakit kencing manis, darah rendah serta sakit saraf yang dihidapinya dan dia kini bergantung pada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan.

Siti Zubaidah berkata, tiga lagi anaknya turut menghidap penyakit kronik termasuk kanser usus dan buah pinggang.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Agrobank bernombor 2006672000092426 atas nama Siti Zubaidah Mohd Ali atau mengubunginya di talian 0179645289. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!