'Hentikan debat terbuka, bawa ke meja rundingan'

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Dewan Pemuda Pas menyeru semua pimpinan parti di dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan debat terbuka mengenai penyertaan parti-parti di dalam gabungan itu dan Muafakat Nasional, sebaliknya membawa permasalahan itu ke meja rundingan.

Timbalan Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana tindakan itu tidak membawa sebarang faedah bahkan semakin menambahkan tanda tanya dan kekusutan kepada rakyat.

"Dewan Pemuda Pas meneliti dengan serius perkembangan yang berlaku di antara parti-parti yang berada di dalam kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini. Ia ekoran kenyataan demi kenyataan secara terbuka berhubung penyertaan parti-parti di dalam PN dan Muafakat Nasional.

"Pemuda Pas berpandangan bahawa PN mahupun Muafakat Nasional ialah manifestasi daripada rasa tidak puas hati rakyat terhadap prestasi pentadbiran Pakatan Harapan selama 22 bulan sehingga membawa kepada jatuhnya kerajaan PH pada bulan Februari yang lepas.

"Ia berlaku apabila Tun Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan terlantiknya Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelamatkan situasi pada masa itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, jika semua pihak dilihat cenderung untuk berdebat secara terbuka dan tidak mahu lagi menggunakan meja rundingan, Pemuda Pas mencadangkan agar perkara itu tidak perlu lagi diadakan rundingan.

Sebaliknya, beliau berkata, semua pihak yang tidak berpuas hati dipersilakan masing-masing bertanding secara sendirian di dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Terdahulu, kemelut dalam Muafakat Nasional mulai timbul selepas Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan parti itu akan menyertai PN bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, rakan sekutunya dalam Muafakat Nasional iaitu UMNO kekal dengan pendirian untuk meneruskan Muafakat Nasional dan tidak akan menyertai PN sebagai gabungan politik.

ARTIKEL BERKAITAN: Akar umbi Pas tiada masalah Bersatu sertai MN

UMNO tidak campur urusan Pas daftar PN bersama Bersatu

Penyertaan Pas dalam PN tidak bercanggah piagam MN