Kapal Singapura ditahan berlabuh tanpa kebenaran

APMM menahan sebuah sebuah kapal tangki jenis VLCC kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Siang, Kota Tinggi semalam.
APMM menahan sebuah sebuah kapal tangki jenis VLCC kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Siang, Kota Tinggi semalam.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan sebuah kapal tangki jenis very large crude carrier (VLCC) kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Siang, Johor timur, dekat sini semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal itu ditahan jam 2.15 petang pada jarak 13 batu nautika timur laut di tanjung berkenaan.

"VLCC berkenaan berdaftar di Singapura dan semasa ditahan gagal mengemukakan sebarang kebenaran berlabuh. Kapal sepanjang 245 meter tersebut dikendalikan 22 kru lelaki termasuk nakhoda berumur lingkungan 19 hingga 61 tahun.

"Mereka terdiri daripada warganegara Ukraine, China, Myanmar, Rusia dan Georgia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, penahanan tersebut merupakan kali keempat pada bulan ini melibatkan kesalahan yang sama.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B (1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.

Jika didapati bersalah katanya, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Justeru, Mohd Zulfadli meminta pemilik kapal atau pengusaha perkapalan memohon kebenaran bersauh daripada Jabatan Laut Malaysia terlebih dahulu jika mahu berlabuh di perairan negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Jika tidak dapat kebenaran, apabila melalui perairan negara ini perlu mengikut peraturan itu atau segera beredar kerana APMM tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.