Bot nelayan tempatan ditahan kerana langgar syarat lesen

Bot nelayan tempatan bersama tekong dan enam awak-awak warga Vietnam yang ditahan semalam dibawa ke Jeti Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Kuantan untuk tindakan lanjut.
Bot nelayan tempatan bersama tekong dan enam awak-awak warga Vietnam yang ditahan semalam dibawa ke Jeti Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga Kuantan untuk tindakan lanjut.
A
A
A

KUANTAN - Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Kuantan menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tekong dan enam awak-awak warga Vietnam kerana melanggar syarat lesen semalam.

Bot nelayan kelas C itu ditahan kira-kira jam 12.30 tengahari ketika mencandat sorong di kawasan laut Kuala Pahang, Pekan.

Timbalan Komander Markas Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, Superintendan Mohd Razlin Abd Manaf berkata, penahanan bot nelayan terbabit hasil maklumat semasa rondaan Op Benteng Covid-19 (Op Benteng Laut) di kawasan perairan itu.

Menurutnya, anggota rondaan menggunakan bot ronda PLC 3 Kuantan telah menahan dan melakukan pemeriksaan ke atas bot berkenaan dan mendapati ia telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

"Pemeriksaan mendapati tekong dan enam awak-awak berusia 18 hingga 54 tahun ini menjalankan aktiviti mencandat sotong menggunakan peralatan mencandat tanpa lesen selain gagal menunjukkan buku lesen yang sah dari Jabatan Perikanan.

"Bot bersama tekong dan enam awak-awak ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 11(a) dan Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985," katanya.

Mohd Razlin berkata, pihaknya turut merampas peralatan mencandat sotong yang dianggarkan bernilai RM15,000 dan hasil tangkapan 60 kilogram sotong dengan nilai kira-kira RM2,000.

Beliau berkata, bot bersama tekong dan awak-awak dibawa ke Markas Polis Marin Wilayah Tiga Kuantan sebelum kes diserah kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan Negeri Pahang untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Artikel Berkaitan: