Dua laporan terhadap wanita dakwa polis 'dibeli' suspek kes ugut

Nik Ezanee Mohd Faisal
Nik Ezanee Mohd Faisal
A
A
A

PETALING JAYA - Polis menerima dua laporan polis berhubung dakwaan seorang wanita yang mendakwa suspek kes ugut berkaitan perebutan kuasa di sebuah kuil ‘membeli’ pihak polis di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek yang sudah dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai direman telah membuat laporan polis berhubung dakwaan terbabit semalam.

"Selain itu, kita juga menerima satu lagi laporan dibuat oleh orang awam di daerah Brickfields, Kuala Lumpur berhubung dakwaan berkenaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya ada memuat naik kenyataan berhubung kes ugutan itu di laman Facebook IPD Petaling Jaya semalam.

"Menerusi kenyataaan dimuat naik itu, ada seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Lalitha Hanlitha’ menulis di ruangan komen mendakwa seluruh balai Petaling Jaya ‘dibeli’ oleh suspek berusia 41 tahun berkenaan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan polis dibuat, pihaknya turut membuka kertas inkuiri tatatertib berhubung perkara itu.

"Kita sudah mengenal pasti identiti wanita berkenaan dan dia dijangka hadir ke IPD Petaling Jaya kira-kira jam 3 petang ini untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

“Tindakan ini adalah penting supaya kita dapat melakukan siasatan secara adil bagi kedua-dua pihak iaitu pihak yang mendakwa dan pihak yang didakwa,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Terdahulu, Nik Ezanee memaklumkan perebutan kuasa sebagai pengerusi persatuan pengurusan di sebuah kuil di Sea Park, di sini dipercayai menjadi punca pertelingkahan antara dua individu yang tular di media sosial baru-baru ini.

Beliau berkata, pihak polis menerima laporan dibuat seorang wanita yang mendakwa diugut seorang lelaki di tempat letak kenderaan awam berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya jam 5.30 petang pada 18 Ogos lalu.

"Hasil maklumat diterima, kita menahan seorang lelaki serta dua pistol bersama lapan peluru bagi membantu siasatan kes berkenaan," katanya.

Sebelum ini, terdapat mesej tular menerusi WhatsApp yang mendakwa suspek terbabit dengan Geng 04, mengawal semua projek pembinaan, kelab malam, pusat urut dengan meminta wang perlindungan dan mendakwa mendapat sokongan serta kerjasama pihak polis IPD Petaling Jaya dalam semua kegiatannya.