Lelaki Perancis 'gelang pink' dikuarantin di klinik

Warganegara Perancis yang memakai gelang berwarna merah jambu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi petang semalam. - Foto Polis Langkawi
Warganegara Perancis yang memakai gelang berwarna merah jambu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi petang semalam. - Foto Polis Langkawi
A
A
A

LANGKAWI - Warganegara Perancis yang tiba di Pulau Langkawi dengan memakai gelang berwarna merah jambu petang semalam telah diarahkan menjalani kuarantin di Klinik Kesihatan Ayer Hangat.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, arahan itu dibuat selepas pihaknya menerima maklum balas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), lewat malam tadi.

Menurutnya, sebelum ini lelaki berusia 64 tahun itu dibenarkan kuarantin di rumah sewanya di Pantai Chenang.

"Lewat malam semalam, KKM telah keluarkan arahan supaya lelaki terbabit dihantar ke Klinik Kesihatan Ayer Hangat untuk dikuarantin di sana dan tidak lagi dibenarkan berada di rumah sewanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Iqbal berkata, arahan terbaharu itu kemungkinan atas faktor keselamatan dirinya yang lanjut usia selain untuk keselesaan orang sekeliling.

Semalam, media melaporkan polis akan memantau pergerakan lelaki Perancis itu yang tiba dengan memakai gelang merah jambu di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) petang semalam.

Kehadiran lelaki itu di pekarangan LTAL dimaklumkan oleh anggota Polis Bantuan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) sebelum melaporkan kepada Balai Polis Padang Mat Sirat untuk tindakan lanjut.

Ketika di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) lelaki itu sudah disaring petugas KKM dan disahkan negatif virus Covid-19.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Warga Perancis ‘gelang pink’ negatif Covid-19