Muat naik status mengenai 'akhirat' sebelum lemas

Faris Iskandar lemas selepas berjaya membantu seorang kanak-kanak dan seorang lelaki hampir lemas ketika mandi di Sungai Kelemin, Felda Mengkawang, semalam. (Gambar hiasan)
Faris Iskandar lemas selepas berjaya membantu seorang kanak-kanak dan seorang lelaki hampir lemas ketika mandi di Sungai Kelemin, Felda Mengkawang, semalam. (Gambar hiasan)
A
A
A

KUALA BERANG - Seorang bapa tidak menyangka tindakan anaknya yang sering memuat naik status berkenaan ‘akhirat’ di aplikasi WhatsApp sejak minggu lepas, merupakan petanda bahawa anaknya itu akan pergi buat selama-lamanya akibat kejadian lemas di Sungai Kelemin, Felda Mengkawang di sini petang semalam.

Mohd Radhi Kamarudin, 41, berkata, Faris Iskandar, 19, yang merupakan pelajar di Kolej Penerbangan Admal itu menunjukkan perubahan sikap dari seorang yang pendiam menjadi banyak bercakap dan bercerita.

“Apabila saya baca status yang dimuat naik arwah sebelum ini, saya merasakan ada sesuatu yang bakal berlaku, namun saya tidak ambil pusing sangat hal berkenaan kerana menganggap ia perkara biasa yang dilakukan oleh remaja seusianya.

“Arwah juga seorang yang pendiam, tetapi akhir-akhir ini dia banyak bercerita, memberi nasihat serta mengingatkan teman-temannya akan kehidupan di dunia yang singkat. Dia seolah-olah tahu ajalnya bakal tiba,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu lewat malam tadi.

Dalam pada itu Mohd Radhi berkata, anaknya juga dilihat keberatan untuk pergi ke Sungai Kelemin semalam, namun tetap menyertai aktiviti perkelahan bersama keluarganya itu.

“Sejak kecil lagi Faris Iskandar selalu mengikuti ke mana sahaja ‘trip’ saya pergi dan sentiasa menjadi peneman ketika saya memandu, tidak sangka perkelahan kali ini merupakan ‘perjalanan’ terakhir saya bersama arwah.

“Walaupun sedih dan terkilan dengan kehilangannya, tetapi saya reda. Sewaktu saya melihat jenazah arwah tadi, arwah seolah-olah sedang tidur seperti kebiasaanya di rumah,” katanya dalam keadaan sebak.

Mohd Radhi berkata, anaknya lemas selepas berjaya membantu seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang lelaki berusia 28 tahun yang hampir lemas ketika mandi di sungai yang sama.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Ketua Polis Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima laporan kes lemas itu pada jam 6.10 petang semalam dan operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan oleh pihak bomba dan orang awam.

“Mayat mangsa ditemui pada jam 7.33 malam tadi dan telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu. Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. - Bernama