Tanding di Teluk Intanlah, buat apa tanding di sini? soal Najib

Najib bertemu penyokong BN yang hadir ke Ceramah Perdana Bersama Bossku anjuran Parti Makkal Sakti Malaysia di perkarangan Bilik Gerakan Makkal Sakti Malaysia, Slim River di sini, hari ini.
Najib bertemu penyokong BN yang hadir ke Ceramah Perdana Bersama Bossku anjuran Parti Makkal Sakti Malaysia di perkarangan Bilik Gerakan Makkal Sakti Malaysia, Slim River di sini, hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim diingatkan agar mengundi calon anak tempatan yang mewakili Barisan Nasional (BN), Mohd Zaidi Aziz pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim kali ini.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Mohd Zaidi bukanlah orang asing di DUN Slim kerana merupakan orang tempatan yang telah dididik oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim.

Menurutnya, calon BN itu juga mengetahui keperluan dan keadaan masyarakat setempat kerana merupakan orang tempatan berbanding calon Bebas yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang berasal dari Teluk Intan.

"Calon atuk (Tun Dr Mahathir Mohamad) ini orang Teluk Intan tuan-tuan, dia tak kenal tuan-tuan. Jadi tempatnya di Teluk Intan, tanding di Teluk Intanlah, usaha tanding di sini, buat apa nak tanding kat sini?

"Kita nak anak tempatan yang besar bersama kita, yang tahu perasaan hati tuan-tuan, yang tak ke mana-mana. Macam mana pun dia akan di sini bersama tuan-tuan, ini yang kita nak.

"Bukan calon Bebas menang dapat elaun tapi tak boleh buat apa untuk tuan-tuan. Yang boleh, yang ada kerajaan hari ini. Kita sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional. Jangan sia-siakan undi tuan-tuan," katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana Bersama Bossku anjuran Parti Makkal Sakti Malaysia di perkarangan Bilik Gerakan Makkal Sakti Malaysia, Slim River di sini, hari ini.

Sementara itu, Najib berkata, pengundi di DUN Slim perlu memastikan kemenangan BN dalam PRK kali ini bagi membukti mereka khususnya kaum India tidak lagi tertipu dengan Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang yang baharu ditubuhkan.

Menurutnya, BN tidak menipu kaum India sebaliknya PH yang tidak menunaikan janji di dalam manifesto selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Artikel Berkaitan:

Jelas Najib, disebabkan itulah beliau menggelarkan kerajaan PH sebagai 'gagalkrasi' kerana dalam tempoh 22 bulan gabungan itu memerintah, rakyat dalam keadaan susah.

"Mereka suruh rakyat ikat perut, jimat cermat dan jangan iri hati dengan orang kaya. Kerajaan BN waktu jadi perdana menteri, saya beri keutamaan kepada golongan B40. Saya tak beri keutamaan kepada orang kaya, kroni saya rakyat.

"Sebab itu Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) bertambah masa zaman saya. Kalau BN menang hari itu dapat BR1M setahun. Saya ambil duit ini dari orang kaya yang beli belah melalui Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan duit GST saya pulangan kepada rakyat," katanya.

Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat BN berkata, kini rakyat mula menyesal kerana termakan dengan janji-janji manifesto PH dan menolak BN pada PRU14 yang lalu.

PRK DUN Slim menyaksikan pertembubangan tiga penjuru di antara calon BN, Mohd Zaidi dan dua calon bebas iaitu Amir Khusyairi dan Dr S Santharasekaran.