Kingmaker PN, Muafakat Nasional


Ahmad Zahid (kiri) bertukar dokumen dengan Abdul Hadi selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional di antara Pas dan UMNO di Kuala Lumpur pada 14 September 2019.
Ahmad Zahid (kiri) bertukar dokumen dengan Abdul Hadi selepas menandatangani Piagam Muafakat Nasional di antara Pas dan UMNO di Kuala Lumpur pada 14 September 2019.
A
A
A

TANGGAL 14 September 2019 merupakan detik bersejarah paling diingati bukan sahaja kepada pimpinan UMNO dan Pas tetapi ahli akar umbi kedua-dua parti terbesar orang Melayu itu dengan termeterainya Piagam Muafakat Nasional.

Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara menjadi saksi piagam kerjasama itu ditandatangani sekali gus menamatkan seteru politik kedua-dua parti sejak sekian lama.

Bermula dari situ, kerjasama kedua-dua parti terus diperkukuh dan diterjemah melalui sokongan Pas kepada calon UMNO atau komponen Barisan Nasional (BN) dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini.

Gabungan Muafakat Nasional antara UMNO, parti yang dipimpin Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dan Pas, parti yang diketuai Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memasuki satu lagi fasa baharu apabila kedua-duanya bersetuju untuk memberi kerjasama kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu.

Kerjasama Pas-UMNO kepada Muhyiddin sejak hampir enam bulan lalu, bagaimanapun, hanya berlandaskan sokongan ahli Parlimen kedua-dua parti Pas dan UMNO di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi bukannya dengan menyertai PN secara rasmi.

Bagaimanapun, kelmarin, Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan mengumumkan parti itu akan menyertai PN bersama Bersatu, hanya beberapa hari selepas Muhyiddin memaklumkan partinya akan menyertai Muafakat Nasional.

Keputusan yang diumumkan Takiyuddin itu sekali gus mengejutkan rakan sekutunya dalam Muafakat Nasional. UMNO secara lantang menolak untuk menyertai gabungan PN.

Bersandarkan perkembangan terbaru, Pas dilihat mampu menjadi kingmaker di sebalik kontroversi Muafakat Nasional-PN membabitkan UMNO dan Bersatu ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Menurut Felo Penyelidik, Institut Kajian Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri, Pas kini boleh berada di antara UMNO-Bersatu, manakala antara UMNO dan Bersatu mereka tidak boleh bertentang mata dari segi politik.

“Tidak salah kalau Pas bertindak menjadi parti penaja kepada PN tetapi Pas seharusnya memikirkan mereka masih ada komitmen dan kerjasama yang dijalinkan bersama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional.

“Selagi Pas masih lagi memberikan komitmen kepada Muafakat Nasional, maka ahli UMNO tidak perlu melatah atau memberikan respons serta tuduhan melulu terhadap tindakan Pas,” katanya.

Ahmad Zahid
Ahmad Zahid

Jelas Achmad, keputusan yang dibuat Pas itu juga secara tidak langsung memberi cabaran kepada UMNO untuk memilih kekal berada dalam gabungan Muafakat Nasional atau sebaliknya.

“Sekarang ini, UMNO berada di persimpangan sama ada mahu menerima Bersatu sebagai komponen Muafakat Nasional atau cuba mengasingkan diri daripada sebarang bentuk kerjasama yang melibatkan PN,” katanya.

Meskipun secara asasnya Pas hanya memiliki 18 kerusi dalam Parlimen, namun parti yang sinonim dengan Melayu-Islam itu mampu memberi kesan besar kepada UMNO-Bersatu yang masing-masing sedang berusaha mengukuhkan kedudukan.

“Pas berada di tengah-tengah, ia boleh berada bersama UMNO dan juga Bersatu. Jadi itu kelebihan Pas.

“Tetapi ia tidak bagi UMNO dengan Bersatu kerana ahli Parlimen Bersatu merupakan bekas ahli UMNO. Jadi wujud sentimen negatif khususnya dalam kalangan ahli akar UMNO terhadap Bersatu,” katanya.

Pulangan politik

Sementara itu, bagi Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim, pertimbangan utama untuk Pas membuat sesuatu keputusan adalah dengan melihat sejauh mana ia memberi pulangan politik kepada mereka termasuk keputusan menyertai PN.

Kata beliau, Pas menyedari bahawa kerajaan PN sekarang secara umumnya diterima baik oleh rakyat, begitu juga populariti Muhyiddin di tahap tertinggi.

“Bersatu yang sedang mengetuai kerajaan PN memberi layanan baik terhadap Pas termasuk lantikan anggota pentadbiran, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pelbagai jawatan politik lain.

“Keberadaan Pas sekarang memberi keuntungan politik yang berganda kepada mereka sama ada keuntungan sebagai komponen kerajaan atau populariti dalam kalangan rakyat,” katanya.

Atas faktor itu, katanya, Pas membuat keputusan menyertai PN dan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mohd Yusri berkata, Pas juga menyertai PN bagi mengimbangi dominasi UMNO dalam kerjasama mereka dengan parti Melayu terbesar itu.

“Pas sedar kekuatan mereka tidak seimbang jika dibandingkan dengan UMNO, sebab itu mereka ingin membawa sekali Bersatu dalam kerjasama bagi mengimbangi pengaruh UMNO.

“Keberadaan Bersatu akan mengurangkan sedikit dominasi UMNO sama ada dalam aspek pengaruh, proses membuat keputusan, pembahagian kerusi dan sebagainya.

“Apabila UMNO secara rasmi menolak menyertai PN dan permohonan Bersatu untuk menyertai Muafakat Nasional juga masih tidak menentu selepas mendapat reaksi keras daripada akar umbi UMNO, Pas mengambil langkah awal mengumumkan menyertai PN secara rasmi,” katanya.

Beliau berkata, ia langkah strategik Pas bagi mengimbangi dan mengekang dominasi politik UMNO khususnya dalam persiapan menghadapi PRU15.

Katanya, UMNO secara prinsipnya tidak berhajat kerjasama dengan Bersatu untuk hadapi PRU15 kerana kurang memberi nilai tambah kepada mereka, namun sangat bergantung kepada kerjasama Pas untuk meningkatkan peluang kemenangan.

Muhyiddin
Muhyiddin

“Pas menggunakan kekuatan itu sebagai kuasa rundingan untuk menekan UMNO supaya menerima Bersatu.

“Selain menyokong penuh Bersatu menyertai Muafakat Nasional, Pas mengambil satu lagi langkah proaktif dengan membuat pengumuman menyertai PN,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan Pas boleh memberi kesan kepada hubungannya dengan UMNO khususnya dalam konteks Muafakat Nasional, Mohd Yusri mengakui ia memberi kesan.

Tambahnya, Pas secara tidak langsung ingin memberi isyarat kepada UMNO bahawa hubungan mereka bersifat lateral bukannya hierarki di mana mereka bebas membuat keputusan sendiri bagi kepentingan politik.

Kelmarin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof memaklumkan pendaftaran PN sedang dilakukan.

Katanya, pendaftaran PN sebagai sebuah gabungan sudah dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Perkembangan terbaru itu pastinya menambahkan lagi warna-warni politik negara yang sering berdepan kejutan.Dalam politik apa sahaja boleh berlaku demi survival dan kepentingan parti politik dan ahli politik.

No Image Caption