Akar umbi Pas serah kepada pucuk pimpinan

-Foto fail Bernama
-Foto fail Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Pas untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan.

Ahli akar umbi akur dengan apa sahaja keputusan yang diputuskan pemimpin mereka kerana bagi mereka pucuk pimpinan lebih mengetahui baik dan buruk tindakan diambil untuk kepentingan ahli dan parti itu.

Ketua Penerangan Pas Cawangan Padang Kabar, Kuala Terengganu, Ahmad Sauffi Mohamad berkata, berkemungkinan ada pihak berpandangan bahawa perbincangan perlu dilaksanakan di setiap peringkat termasuk akar umbi.

Namun, katanya, keputusan oleh pucuk pimpinan parti adalah yang terbaik kerana mereka lebih mengetahui keadaan sebenar, tambahan pula kerajaan hari ini dibentuk atas dasar kebersamaan.

“Kita serah kepada pucuk pimpinan apa sahaja keputusan, kita akur. Kita juga tahu apa sahaja keputusan dibuat adalah yang terbaik,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Kawasan Marang, Shahrul Azmi Othman berkata, sebagai ahli adalah wajar mereka menunggu keputusan pucuk pimpinan parti.

“Bagi saya tiada masalah kerana jika baik di peringkat pimpinan, maka baik bagi peringkat bawahan. Pemimpin lebih tahu baik dan buruk, namun senario mungkin berbeza di setiap negeri,” katanya ketika diminta mengulas mengenai gabungan Pas dan Bersatu dalam PN.

Artikel Berkaitan: