Peniaga Malaysia pantas pulihkan perniagaan

No Image Caption
A
A
A

ENAM bulan lepas ketika koronavirus (Covid-19) menular di Malaysia, ramai peniaga khususnya kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengeluh kerana pendapatan terjejas, tidak kurang juga yang gulung tikar kerana tidak mempunyai aliran tunai.

Namun, keluh-kesah tersebut beransur pulih selepas kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan secara berfasa.

Peniaga yang dulunya buntu melihat serangan Covid-19 mula mengukir senyuman apabila melihat perniagaan yang diusahakan kembali menjana pendapatan. Walaupun tidak sepenuhnya, namun sedikit sebanyak ia berjaya memulihkan kembali aliran tunai bisnes yang terjejas.

Kejayaan peniaga memulihkan perniagaan itu sebenarnya banyak bertitik tolak daripada sikap mereka sendiri. Tanpa usaha berterusan dan keterbukaan untuk mengadaptasi perubahan, sudah pasti mereka akan berdepan kegagalan.

Sebahagian besar peniaga kembali menjana pendapatan dalam keadaan negara masih mencatat kes jangkitan. Malah, ada juga dalam kalangan mereka yang mampu menggandakan keuntungan ketika pelaksanaan PKP fasa kedua dan ketiga

Perkara tersebut diakui sendiri oleh beberapa peniaga yang dihubungi. Mereka memberitahu perniagaan diusahakan kembali menjana pendapatan dalam jangka waktu singkat selepas mereka menyesuaikan operasi bisnes masing-masing mengikut perubahan normal baharu.

Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar turut kagum dengan pencapaian peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana mampu pulih dengan pantas.

Katanya, ketangkasan mereka mengguna pakai strategi yang berbeza dalam normal baharu berjaya membantu perniagaan diusahakan bertahan dalam situasi sukar yang tidak pernah dihadapi oleh dunia sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tidak semua golongan berkenaan mampu mencapai pemulihan perniagaan dengan pantas. Hanya mereka yang terlibat dalam sektor makanan dan pembuatan berjaya mengukuhkan kembali aliran tunai. Selebihnya masih lagi berusaha untuk bangkit khususnya perniagaan dalam sektor pelancongan dan yang berkaitannya.