X

Kindly register in order to view this article
!

Kanak-kanak buat duit jadi YouTuber

A
A

KANAK-KANAK jadi YouTuber? Kedengaran agak mustahil namun dengan perkembangan teknologi masa kini, semuanya boleh menjadi kenyataan. Ramai kanak-kanak kini mencipta nama dan mampu memperolehi pendapatan sendiri hasil perkongsian video mereka yang dimuat naik di laman sosial YouTube.

Penulis sangat kagum dengan kejayaan seorang penyanyi dan pelakon cilik di negara ini, Aryanna Alyssa Dezek yang berada di tangga ke-10 secara keseluruhan dalam ranking saluran YouTube di Malaysia.

Malah dalam usia 12 tahun, Alyssa mampu membeli kereta idamannya, Toyota Vellfire hasil sebagai YouTuber.

Berdasarkan socialblade.com, laman web yang mengukur statistik dan pencapaian pengguna media sosial di seluruh dunia, Alyssa dianggarkan meraih pendapatan antara RM32,000 dan RM500,000 sebulan.

Selain Alyssa, seorang lagi kanak-kanak berusia lapan tahun, Ryan Kaji dari Amerika Syarikat juga meraih pendapatan AS$26 juta (kira-kira RM108 juta) pada tahun 2019 hasil menjadi seorang YouTuber melalui saluran Ryan’s World.

Bintang YouTube itu kali pertama tampil menerusi saluran pertamanya Ryan ToysReview pada tahun 2015.

Kaji yang kini tinggal di Texas, Amerika Syarikat mempunyai hampir 23 juta pengikut di platform YouTube.

Bintang YouTube dari Korea Selatan yang dikenali sebagai Boram Tube berusia enam tujuh tahun pula tidak kurang hebatnya apabila berjaya meraih pendapatan lumayan dan mampu menghadiahkan keluarganya sebuah kediaman lima tingkat di daerah Gangnam, Seoul bernilai RM33 juta (9.5 bilion Won).

Hanya dengan membuat ulasan atau review produk mainan kanak-kanak yang berada di pasaran, Boram kini mempunyai lebih daripada 30 juta pengikut di dua saluran YouTube miliknya.

Menurut laporan Korea Times, Boram dianggarkan menerima pendapatan kira-kira RM12.8 juta (3.7 bilion Won) setiap bulan.

Waspada

Bukan calang-calang pendapatan yang berjaya diperolehi bintang YouTuber cilik itu. Penulis juga terpegun apabila menonton. Namun harus diingatkan kepada ibu bapa supaya memantau akaun anak mereka agar tidak mudah tertipu dengan penjenayah scammer di laman sosial.

Kepada yang berjinak-jinak mahu mencipta nama dan meraih pendapatan melalui media sosial juga perlu diingatkan tentang keburukan gajet dalam kalangan kanak-kanak.

Sebelum ini, kerajaan ada menyuarakan kebimbangan mengenai pengaruh gajet terhadap kehidupan harian kanak-kanak di negara ini.

Tiga contoh ini sahaja sudah cukup membuatkan sesiapa sahaja teruja untuk menjadi YouTuber.

Apa tidaknya, ia tidak memerlukan modal yang besar. Sesiapa saja dengan telefon bimbit dan akses Internet sudah mampu memuat naik video ke internet.

Mungkin ramai ibu bapa yang mahu anak mereka berjaya seperti Alyssa, Ryan Kaji atau Boram Tube yang berstatus jutawan pada usia muda.

Tetapi apakah kesan baik atau buruk anak-anak ini menjadi YouTuber. Atau apakah kesannya jika anak-anak ini memiliki wang yang banyak sejak kecil?

Ibu bapa perlu memikirkan aspek positif dan negatif apabila anak-anak mahu terlibat sebagai Youtuber.

Pada masa sama, tiada siapa yang boleh memastikan apa yang trending hari ini, masih mahu ditonton pada minggu depan.

Anak-anak yang didedahkan dengan gajet ini pula akan menghabiskan masa berjam-jam untuk meneroka segala aplikasi dan permainan dalam gajet berkenaan.

Akhirnya akan menjejaskan perkembangan kanak-kanak secara keseluruhannya, di samping dapat menimbulkan pelbagai risiko.

Oleh itu, ibu bapa perlu memantau penggunaan gajet anak-anak supaya ia dapat digunakan dengan sebijaksana yang mungkin.

Nasihat ini juga untuk penulis sendiri kerana kadangkala anak penulis juga leka dengan gajetnya tapi jika dia mahu jadi YouTuber, mungkin penulis izinkan.

* Siti Shamila Che Zahari ialah Penyunting Unit Pemerolehan Berita Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!