Pengiktirafan Israel khianati Palestin

No Image Caption
A
A
A

PERJANJIAN normalisasi yang baru-baru ini diumumkan oleh Presiden Trump di Rumah Putih antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel tidak terlalu mengejutkan. Sebenarnya UAE telah bertahun-tahun melakukan normalisasi tidak rasmi dengan Israel.

Pemimpin Islam dan masyarakat sivil umumnya menolak perjanjian normalisasi itu. Perlawanan yang kuat kini kedengaran dari beberapa negara terhadap apa yang disebut Abraham Accord itu.

Kesepakatan UAE - Israel itu sebenarnya adalah hubungan strategik yang diatur oleh pentadbiran Trump. Ia merupakan bahagian daripada Kesepakatan Abad (Deal of the Century) sebagai rancangan untuk mengawal semua negara Arab supaya tunduk kepada Israel.

Apa yang tersirat dalam perjanjian itu adalah melegitimasikan serangan berlarutan ke atas rakyat Palestin sejak 1948, memperkukuhkan koalisi Netanyahu-Gantz, memperdalam penjajahan Israel dan memperkuat persekutuan Israel dengan pemimpin autokrat Arab.

Pada hakikatnya, itu adalah perjanjian perang dan kejayaan bersejarah untuk mewujudkan lebih banyak konflik di rantau Asia Barat.

Ramai pemimpin dunia telah menolak alasan hubungan rasmi UAE dengan Israel. UAE berdalih tujuan normalisasi itu untuk adalah menghentikan pelan perampasan Israel terhadap wilayah Tebing Barat Palestin.

UAE mendakwa perjanjian UAE-Israel itu adalah untuk membantu rakyat Palestin mencapai kemerdekaan dan mempromosi perdamaian di Asia Barat. Sebenarnya ia adalah suatu penipuan.

UAE mendakwa perjanjian itu bertujuan menghentikan perampasan wilayah Palestin. Itu jelas merupakan naratif yang salah. Rancangan Netanyahu untuk secara haram merampas sepertiga dari Tebing Barat tertunda lebih awal daripada perjanjian UAE-Israel diumumkan.

Artikel Berkaitan:

Pada hakikatnya, pelan perampasan yang dihentikan hanya untuk sementara waktu, merupakan hasil sampingan daripada masalah yang sebenar iaitu penjajahan dan penempatan haram Israel.Dakwaan UAE bahawa keputusannya menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel didorong oleh solidariti dengan rakyat Palestin adalah palsu dan merupakan pengkhianatan terhadap kepentingan Palestin.

Tindas

UAE telah terlibat lama dalam kerjasama sekuriti secara rahsia dengan Israel. Mereka tidak berunding dengan kepimpinan Palestin ketika menjalinkan hubungan dengan Israel atau mengumumkan niat mereka untuk menandatangani perjanjian damai dengan Israel.

Hakikatnya UAE telah lama membelakangkan nasib Palestin dan terus merosakkan perpaduan Palestin dengan menyokong seorang pesaing kepada Presiden Mahmud Abbas.

Pengumuman UAE untuk menandatangani perjanjian dengan Israel hanya bertujuan untuk membantu Trump dan Netanyahu, yang kini bergelut dengan masalah politik domestik masing-masing.

Perjanjian UAE dengan sebuah rejim yang menindas Palestin tidak mungkin boleh dilihat baik bagi rakyat Palestin. Sangat jelas Israel akan mengeksploitasi UAE dan mendekati negara Arab yang lain untuk menjalinkan hubungan rasmi dan dengan itu akan memperluas perampasan wilayah Tebing Barat dan menekan rakyat Palestin.

Israel selalu mengambil kesempatan ruang diplomatik dalam kalangan negara-negara Arab untuk meningkatkan pencerobohan dan kependudukan haramnya. Israel hanya tunduk di bawah tekanan. Dengan perjanjian dengan UAE akan mendapat akses tanpa had ke salah satu pasar Arab terkaya.

UAE berkerjasama dengan Israel dan AS dengan harapan dapat mewujudkan pakatan strategik tiga hala iaitu AS-Israel-Arab untuk mengekang pengaruh Turki dan menghancurkan rejim Iran. Apa yang disebut ‘perjanjian perdamaian bersejarah’ tidak lebih daripada dorongan ke arah konflik wilayah lain atau perang yang lebih buruk lagi.

Perdamaian sejati akan muncul hanya setelah Israel bersetuju untuk menarik diri dari semua tanah Arab, melepaskan cita-cita hegemoni dan senjata nuklearnya dan memungkinkan untuk kebebasan penuh dan penentuan nasib sendiri Palestin di tanah air Palestin dicapai.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu