Trump berhasrat mahu tukarkan Puerto Rico dengan Greenland

Gambar fail menunjukkan sebahagian kawasan di San Juan, Puerto Rico. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan sebahagian kawasan di San Juan, Puerto Rico. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mahu menjual Puerto Rico kerana ia dianggap sebagai kotor dan miskin atau menukarkannya dengan Greenland iaitu wilayah autonomi Denmark yang terletak di Amerika Utara, kata bekas pegawai kanan pentadbirannya, Miles Taylor semalam.

Taylor yang merupakan ketua staf di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri berkata, Trump menyuarakan hasrat tersebut ketika kerajaan menjalankan tugas-tugas sokongan operasi selepas dua hurikan memusnahkan sebahagian pulau Caribbean itu pada tahun 2017.

Beliau menyatakan kepada portal berita MSNBC bahawa pada tahun 2018, Trump yang kerap bercakap mahu memperoleh Greenland daripada Denmark mencadangkan dengan serius kemungkinan Puerto Rico boleh ditukarkan dengan wilayah Denmark itu.

"Trump memberitahu kami bukan sahaja beliau mahu membeli Greenland tetapi juga mahu melihat jika kami mampu menjual Puerto Rico, adakah kami (juga) mampu menukarkan Puerto Rico dengan Greenland.

"Berdasarkan kata-katanya, Puerto Rico adalah kotor dan penduduknya miskin," kata Taylor.

Bekas pegawai AS itu tidak menganggap kenyataan Trump itu sebagai satu gurauan.

Pada tahun 2019, Trump membatalkan lawatannya ke Denmark selepas Perdana Menteri, negara itu Mette Frederiksen menolak tawarannya yang mahu membeli Greenland sebagai 'mengarut' walaupun ketika itu beliau tidak menyatakan sama ada Puerto Rico termasuk dalam cadangan bagi mendapatkan wilayah tersebut. - AFP

Artikel Berkaitan: