Kluster Alam diisytiharkan di Sarawak

Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
Dr Noor Hisham - Foto fail Bernama
A
A
A

KUCHING - Satu kluster baharu iaitu Kluster Alam telah diisytiharkan di Sarawak setelah empat daripada kru kapal yang berlabuh di Pelabuhan Bintulu disahkan positif koronavirus (Covid-19).

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak hari ini, kapal tangki minyak yang berdaftar di Pelabuhan Klang itu mempunyai sejarah pelayaran ke Pelabuhan Toyama Shinko, Jepun dari 27 Julai hingga 1 Ogos sebelum singgah di Pelabuhan Labuan pada 10 Ogos lalu.

“Semasa dalam perjalanan ke perairan Bintulu, kapten kapal telah memaklumkan kepada ejen kapal berkenaan terdapat dua anak kapal yang sakit dan memerlukan rawatan di hospital.

“Siasatan awal menunjukkan kluster ini berpunca daripada jangkitan luar negara iaitu kemungkinan dibawa oleh kru yang sign on (mendaftar) ke atas kapal semasa singgah di pelabuhan antarabangsa. Siasatan lanjut ke atas kluster ini masih dilakukan dan pengesanan serta saringan ke atas semua kontak sedang giat dijalankan,” kata kenyataan itu.

Menurut JPBN, Kluster Pasar Stutong telah diisytiharkan tamat setelah tiada kes baharu dilaporkan dalam tempoh 28 hari selepas kes terakhir dilaporkan.

Selain Kluster Alam yang baru diisytihar itu, kluster lain yang masih aktif di negeri ini terdiri daripada Kluster Syarikat Kejuruteraan, Kluster Mambong, Kluster Sentosa, Kluster PUI Melbourne, Kluster Syarikat Pembinaan Kuching dan Kluster Pasar Satok.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini berkata, kluster berkenaan tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil (isolated) di sebuah kapal.

Beliau berkata, kluster ini dikesan susulan saringan Covid-19 yang telah dijalankan ke atas lima orang kakitangan kapal tersebut yang mengalami gejala.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, daripada jumlah itu, empat orang didapati positif Covid-19 dan seorang masih menunggu keputusan pengesahan makmal.

"Kesemua kes positif berkenaan merupakan kes import yang mendapat jangkitan di luar negara yang melibatkan dua warga Malaysia dan dua bukan warganegara.

"Mereka sedang dirawat di Hospital Bintulu, Sarawak. Kapal di mana mereka bertugas ini mempunyai sejarah perjalanan ke negara Jepun," katanya.

Katanya, aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat sedang dijalankan manakala langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan nyahcemar telah dijalankan di kapal itu. - Bernama

Artikel Disyorkan