Keputusan daftar PN perlu dibincang di semua peringkat

Ahmad Yunus Hairi
Ahmad Yunus Hairi
A
A
A
SHAH ALAM - Keputusan Pas untuk menubuhkan Perikatan Nasional (PN) bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sewajarnya dibincangkan di semua peringkat terlebih dahulu sebelum dimuktamadkan.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, perbincangan itu perlu dilaksanakan berikutan kerajaan pada hari ini dibentuk atas dasar kebersamaan ahli-ahli Parlimen daripada UMNO, Pas dan Bersatu.

Beliau berkata, setakat ini, Pas hanya mempunyai perjanjian persefahaman (MoU) bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional yang akan menyambut ulang tahun pertamanya tidak lama lagi.

"Saya ingat molek kiranya jika PN ini ingin didaftarkan, ia perlu dibincangkan dengan keterlibatan semua komponen parti.

"Jadi ia lebih lunak sebab mahu tak mahu, mungkin akan ada sedikit gelora boleh berlaku.

"Gelora itu mungkin bukan di peringkat pimpinan tapi melibatkan akar umbi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Ahmad Yunus berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengesahan dibuat oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bahawa parti itu bersama Bersatu sedang dalam proses menubuhkan PN.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas mengenai perkara itu sebelum ini turut berkata, parti Melayu itu dan Barisan Nasional (BN) tidak campur urusan Pas untuk mendaftar PN bersama dengan Bersatu.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus berkata, Pas Selangor sentiasa menyokong semua dasar yang diputuskan oleh pimpinan di peringkat Pusat memandangkan segala keputusan bukan dibuat secara membuta tuli.
Artikel Berkaitan:


"Kita lihat setiap keputusan itu bukan semberono sahaja tapi ia diputuskan di peringkat ahli majlis syura dan jawatankuasa ulamak yang mempunyai nas-nas tertentu untuk memutuskan sesuatu dasar," katanya.