14,048 orang pulang ke tanah air sejak 24 Julai

Ismail Sabri.- Foto Bernama
Ismail Sabri.- Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 14,048 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 67 hotel dan lima Institut Latihan Awam (ILA).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 43 individu dihantar ke hospital untuk rawatan manakala 6,316 individu telah dibenarkan pulang.

“Mereka telah pulang dari 32 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis, Australia, New Zealand dan Amerika Syarikat,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Beliau berkata, semalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan 380 pemeriksaan terhadap individu yang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing dan mendapati mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Sementara itu, Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 67,369 pemeriksaan semalam dan menahan 117 individu atas kesalahan ingkar arahan PKP.

Ismail Sabri berkata, daripada jumlah itu, 91 individu dikompaun dengan 26 lagi direman melibatkan kesalahan seperti gagal menyediakan peralatan atau catatan keluar masuk, tidak memakai pelitup muka, premis beroperasi lebih masa, menjalankan aktiviti pelacuran serta aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal.

Mengenai Operasi Benteng bagi mengawal sempadan negara, beliau berkata PDRM mengadakan 64 sekatan jalan raya dan memeriksa 25,333 kenderaan semalam bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin terutamanya di lorong tikus, namun tiada sebarang tangkapan dilakukan.

Selain itu, sebanyak 10 operasi sanitasi awam dijalankan semalam di Sabah, Sarawak, Melaka, Perak dan Kedah.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan 12 jenis bekalan barangan di 720 premis perniagaan semalam termasuk peruncit (506), pemborong (184) serta pengilang (30) dan secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan adalah mencukupi.

KPDNHEP turut melakukan 992 pemeriksaan khas dan mendapati 980 premis mematuhi SOP manakala 11 premis diberikan nasihat dan sebuah premis lagi diberi amaran kerana tidak mematuhi SOP. - Bernama