SRT kaji punca kemerosotan

Quartararo. Foto : Petronas SIC
Quartararo. Foto : Petronas SIC
A
A
A

PASUKAN Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) akan meneliti semula punca kemerosotan prestasi pelumbanya, Fabio Quartararo yang mengakhiri saingan Grand Prix (GP), Austria di Litar Red Bull baru-baru ini pada kedudukan kelapan.

Prinsipalnya, Datuk Razlan Razali berkata, perkara itu perlu bagi memastikan pelumba berusia 21 tahun dari Perancis itu lebih bersedia dalam mengharungi perlumbaan seterusnya di litar sama hujung minggu ini.

“Kita tahu Litar Red Bull adalah litar yang sukar buat Yamaha. Oleh itu, saya fikir kita perlu menilai dan mengkaji semula apa yang berlaku pada Quartararo. Lagipun, kita dapat membantu untuk menyediakannya untuk mengharungi perlumbaan hujung minggu ini.

“Kita juga berharap agar Quartararo akan menunjukkan peningkatan pada perlumbaan berkenaan,” katanya.

Mengenai kemalangan yang membabitkan rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli yang gagal menamatkan perlumbaan kali ini, Razlan berkata:

“Semestinya hujung minggu lalu penuh dengan kegilaan terutamanya dengan beberapa insiden kemalangan dalam saingan MotoGP dan juga Moto2.

“Bagaimanapun kita lega kerana pelumba MotoGP kita, Franco Morbidelli tidak mengalami kecederaan serius dan pastinya dia akan kembali dengan lebih bersemangat untuk perlumbaan hujung minggu ini,” katanya.

Pada masa sama Razali juga gembira dengan kejayaan pelumba Moto2 Petronas Yamaha SRT, Xavi Vierge yang menamatkan perlumbaan pada kedudukan kelima seperti disasarkan pelumba berkenaan sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, seorang lagi pelumba Moto2 Petronas Yamaha SRT, Jake Dixon turut mempamerkan aksi konsisten apabila menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-14, kelmarin.

“Kita juga gembira dengan kejayaan pelumba Moto3 Petronas SRT, John McPhee yang sekali lagi menaiki podium setelah menamatkan perlumbaan tempat ketiga kelmarin.

“Dalam pada itu, kita juga tahu bahawa ia satu keputusan berat bagi seorang lagi pelumba Moto3 Petronas Yamaha SRT, Khairul Idham Pawi yang membuat keputusan tidak meneruskan perlumbaan berikutan masalah kecederaan jarinya dan kita doakan agar dia segera sembuh,” katanya.