Mohon segerakan laksana KXP: MB Kedah

Muhammad Sanusi (kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini. Foto: Facebook Warta Kedah
Muhammad Sanusi (kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini. Foto: Facebook Warta Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah akan mengadakan rundingan dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menyegerakan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang kini tertangguh susulan Kajian National Airport Strategic Plan (NASP) belum dimuktamadkan.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya berharap KXP diberikan pengecualian berikutan projek mega ini sudah dilakukan beberapa kajian oleh 12 konsultan sejak 2015.

Menurutnya, sekiranya NASP lambat dimuktamadkan oleh Kementerian Pengangkutan, ia turut melewatkan proses pembinaan KXP.

“KXP melibatkan peruntukan RM21 juta daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK), kajian demi kajian dilakukan tiba-tiba tersangkut hanya oleh NASP. Kita akan cuba lepasi halangan ini dengan adakan perbincangan bersama MOT,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan, Datuk Wee Ka Siong berkata, cadangan bagi menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan pembinaan KXP akan diputuskan selepas kerajaan Pusat memuktamadkan kajian NASP.

Kajian tersebut meliputi semua pembangunan lapangan terbang dan Short Take-Off Landing Airport (STOLport) dalam negara yang dijangka siap pada 2023 selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya akan mengemukakan fakta tanpa mengabaikan keperluan menyediakan NASP agar KXP dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Perkara ini dimaklumkan kepada saya ketika mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) minggu lalu, temu janji bersama MOT telah dibuat untuk kita bentang pelan pembinaan KXP dan semua komponennya untuk dipertimbangkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Februari lalu, Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjangkakan KXP bakal menerima penerbangan pertama pada Januari 2024. Ini susulan kerja pecah tanah bagi projek pembinaan Kedah Aerotropolis akan dilaksanakan pada November depan.

Katanya, pengambilan tanah seluas 3,982 hektar (9,841 ekar) selesai dimuktamadkan selain pemilik tanah sudah dikenal pasti.