Buaya 'mengganas' belakang rumah ditangkap

Mohd Nor menunjukkan lokasi kejadian di mana itiknya dibaham buaya tembaga. Buaya jenis tembaga yang muncul di sungai Gong Tok Aji bertindak ganas dengan membaham itik peliharaan penduduk selama tiga hari berturut-turut bermula Ahad lalu.
Mohd Nor menunjukkan lokasi kejadian di mana itiknya dibaham buaya tembaga. Buaya jenis tembaga yang muncul di sungai Gong Tok Aji bertindak ganas dengan membaham itik peliharaan penduduk selama tiga hari berturut-turut bermula Ahad lalu.
A
A
A

PASIR PUTEH - Seorang penternak dari Kampung Gong Tok Aji di sini lega apabila seekor buaya yang ‘menghuni’ sungai di belakang rumahnya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) semalam.

Buaya dari spesies tembaga itu sebelum itu dikatakan telah mengganas dan membaham tiga ekor itik milik Mohd Nor Idris, 60, dalam tempoh tiga hari berturut-turut bermula Ahad lalu.

Mohd Nor berkata, kehadiran buaya itu disedarinya sejak sebulan lalu apabila reptilia tersebut sering timbul di kawasan belakang rumahnya yang terletak berhampiran sungai Gong Tok Aji.

"Buaya itu akan kebiasaannya akan muncul sekitar jam 11 hingga 12 malam dan kami turut berpeluang mengambil gambar dari jarak dekat.

"Selain itu ia gemar berjemur di sekitar kawasan tebing sungai itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, sejak malam Ahad lalu, buaya sepanjang tiga meter itu yang sebelum ini menjadi 'kawan' telah bertindak luar kawalan dengan membaham itik peliharaannya.

Menurutnya, dia kemudian mengambil keputusan menghubungi Perhilitan untuk menangkap reptilia itu kerana sungai itu turut menjadi tempat cucunya mandi pada waktu petang selain jarak tebing dengan rumah hanya 10 meter sahaja.

Artikel Berkaitan:

Perhilitan Kelantan berjaya menangkap buaya tembaga itu selepas pihaknya memasang perangkap sejurus menerima aduan daripada penduduk.
Perhilitan Kelantan berjaya menangkap buaya tembaga itu selepas pihaknya memasang perangkap sejurus menerima aduan daripada penduduk.

"Saya berpandangan pencegahan awal lebih baik sebelum kami semua berdepan dengan sebarang bahaya," katanya.

Mohd Nor yang menetap lebih 30 tahun di kawasan berkenaan memberitahu kawasan sungai di belakang rumahnya itu merupakan habitat asal buaya.

Katanya, dia sering melihat buaya timbul dan berjemur di kawasan tersebut setiap kali turun memancing kerana kawasan itu merupakan 'lubuk' udang galah, ikan toman dan ikan patin.

Sementara itu, Perhilitan Kelantan ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Sumber Perhilitan memberitahu, buaya tembaga itu berjaya ditangkap selepas pihaknya memasang perangkap sebaik sahaja menerima aduan daripada penduduk.

"Kita telah memindahkan buaya tersebut ke tempat yang lebih selamat untuk mengelakkan konflik antara haiwan itu dengan manusia.

"Orang ramai yang ternampak reptilia itu muncul jangan mudah panik sebaliknya terus maklumkan kepada Perhilitan untuk langkah pencegahan," katanya.