170,684 isi rumah di Johor miskin

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebanyak 170,684 isi rumah di Johor dikategori sebagai miskin berasaskan jurang pendapatan yang tidak seimbang dan berbeza.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 34,392 isi rumah berada dalam kategori miskin mutlak.

"Sebanyak 1,759 isi rumah pula berada dalam kategori miskin tegar dan 134,533 isi rumah lagi dalam kategori miskin relatif," katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor 1442/2020 di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani, Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi, Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot dan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Md Rofiki A Shamsudin.

Kelmarin, Hasni berkata, pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) di negeri ini adalah sebanyak RM2,508 sebulan bagi satu isi rumah dan kadar itu tidak sama dengan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia yang menetapkan PGK keseluruhan nasional adalah sebanyak RM2,208 sebulan.

Kategori miskin mutlak ialah pendapatan isi rumah tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas iaitu makanan, pakaian dan perlindungan, keadaannya tidak berubah mengikut pertumbuhan ekonomi.

Sementara miskin relatif ialah pendapatan isi rumah berada beberapa peratusan tertentu di bawah pendapatan penengah isi rumah dan keadaannya akan berubah mengikut pertumbuhan ekonomi.

Hasni berkata, langkah penyelesaian secara Islamik perlu dilakukan bukan sahaja dalam menangani masalah kemiskinan tetapi semua aspek.

Artikel Berkaitan:

"Apakah penyelesaian Islam dalam mendepani kesenjangan pendapatan ini? Islam tidak harus sekadar nama, tema dan slogan-slogan semata.

"Di Johor kita mesti menjadikan Islam inspirasi untuk lebih bekerja keras, berkata benar, bersikap adil, senantiasa dahagakan ilmu baru dan bersedia berhijrah kepada kehidupan lebih bermutu dan lebih baik," katanya.

Katanya, Islam di Johor telah menjadi katalis utama kepada usaha pemerkasaan bangsa terutama pembangunan sahsiah dan rohaniah.

"Islam selama mana bertapak di Johor Darul Takzim, menyeru kita untuk sentiasa meninggalkan keburukan dan selalu fastabiqul khairat atau berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan," katanya.